PASARAN motosikal di Malaysia sebenarnya kurang meriah jika
dibandingkan dengan pasaran negara jiran seperti Singapura, Thailand dan
Indonesia. Di sana, pengguna disajikan dengan pelbagai model motosikal
daripada pelbagai jenama, sama ada berkuasa tinggi, kapcai atau skuter.
Lebih menarik lagi, varian yang ditawarkan untuk sesebuah model juga
biasanya lebih banyak bagi memenuhi kehendak pembeli yang bervariasi.
Sebaliknya di Malaysia, pilihannya agak terhad. Pemain utama dalam
industri seperti Honda, Yamaha, Suzuki dan Modenas lebih cenderung
menawarkan model-model kapcai yang merangkumi sebahagian besar daripada
jumlah jualan masing-masing. Malah, kitaran produknya juga mengambil
masa yang lama untuk ditukar dengan generasi baharu.
Jadi, wujud vakum dalam segmen tertentu. Sebagai contoh, skuter
bersaiz besar atau lebih dikenali sebagai skuter maxi. Secara
ringkasnya, skuter sebegitu disifatkan sebagai model yang merapatkan
jurang antara skuter kecil atau kapcai dengan motosikal bergear dan
memiliki kapasiti enjin lebih besar.
Skuter maxi lazimnya popular di pasaran Eropah dan Jepun. Sesaran
enjinnya juga berbeza-beza bermula dari sekecil 150cc hinggalah 650cc.
Dengan tubuh dan kuasa enjin yag besar, skuter touring itu menawarkan
tunggangan yang menyeronokkan terutama ketika menunggang dalam jarak
yang jauh.
Di pasaran tempatan, sebelum Modenas memperkenalkan skuter maxi mampu
miliknya iaitu Elegan, segmen itu diisi oleh beberapa model yang
ditawarkan pada harga premium. Antara model yang popular ialah Yamaha
Majesty 250YP yang dipasarkan sekitar tahun 1997.
Saya sempat melayari laman forum berkaitan skuter maxi, agak terkejut
juga kerana masih ada yang berminat untuk memiliki Yamaha Majesty itu
walaupun usianya sudah menjangkau lebih sepuluh tahun.
Tahu bahawa skuter maxi memang ada peminatnya, pasaran yang awalnya
dimonopoli Modenas Elegan kemudian dikongsi oleh skuter jenama dari
Taiwan, SangYang Motors atau SYM. Dengan rekaan dan pelbagai ciri
menarik, di samping harganya yang berpatutan skuter maxi SYM terutama
VTS200 nyata mendapat sambutan hangat daripada pembeli.
Ada banyak sebab kenapa skuter maxi digemari. Antara faktor utama
adalah karekternya yang seronok, selesa dan stabil ditunggang untuk
perjalanan jauh. Kalau dinilai dari segi praktikaliti pula, mungkin ada
yang skeptikal kerana saiznya yang agak besar membuatkan usaha untuk
mencelah-celah di sebalik kesesakan jalan raya sedikit sukar.
PENUNGGANG boleh menyimpan barangan peribadi di ruang penyimpanan ini.
Rebiu positif
Kini, segmen skuter maxi semakin meriah dengan pengenalan model Honda
PCX 150 oleh pengedarnya, Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda).
Di pasaran luar seperti Eropah, Amerika Syarikat dan Asia (misalnya
Thailand), PCX yang turut hadir dalam varian 125cc bukanlah satu model
asing.
Lebih menarik lagi, jentera itu mendapat banyak rebiu positif
daripada media dan para pemiliknya. Kalau anda pergi ke Phuket, Thailand
baru-baru ini, anda boleh lihat bahawa PCX merupakan antara skuter yang
paling popular di sana. Terima kasih kepada Boon Siew Honda kerana
membawa skuter maxi yang menarik itu kepada pengguna di Malaysia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Satoshi
Okada mengakui bahawa pihaknya percaya bahawa pasti ada sebuah motosikal
untuk semua orang, bagi setiap acara dan apa jua jenis gaya hidup.
“Justeru, kami membawakan rangkaian produk sebegini ke satu tahap
baharu melalui model Spacy dan PCX, dua model bertransmisi automatik
dengan ciri-ciri baharu yang menarik,” kata Okada.
Walaupun ada yang berpendapat harganya agak mahal, namun anda harus
tahu bahawa PCX hadir bersama teknologi yang tidak ada pada motosikal
lain. Contoh paling ketara adalah aplikasi sistem Programmed Fuel
Injection (PGM-FI) Honda pada PCX 150. Sistem itu meningkatkan tahap
kecekapan proses pembakaran enjin dan prestasi penyejukan yang optimum.
PCX 150 dijana oleh unit enjin berkuasa 153cc SOHC empat lejang. Ia
dilengkapi sistem penyejukan cecair dan enhanced Smart Power (eSP) yang
direka untuk ketahanan dan jimat bahan api. Hasilnya, PCX 150 mampu
bergerak sejauh 50.2 kilometer bagi setiap liter petrolnya!
(berdasarkan kepada ujian Mod ECE40).
Selain eSP, penjimatan bahan api turut disumbang oleh sistem Idling
Stop. Dengan ciri itu, enjin akan dimatikan secara automatik apabila ia
melahu selepas tiga saat. Idling Stop turut meliputi sistem penghidup
ACG yang membolehkan enjin dihidupkan secara automatik sebaik sahaja
pendikit minyak dipulas.
ACG memastikan enjin dapat dihidupkan dengan lancar, selain
menghilangkan bunyi bising yang biasanya timbul apabila gear penghidup
enjin dimasukkan. Hasilnya, kombinasi dua teknologi tersebut mampu
menjimatkan penggunaan bahan api sebanyak tujuh peratus.
Aspek keselamatan tidak diambil ringan. Bagi memastikan PCX 150 dapat
diberhentikan dengan selamat dan efisien, sistem brek kombinasi
(Combined Brake System, CBS) digunakan. CBS berfungsi menyeimbangkan
tekanan brek hadapan dan belakang.
TIDAK memerlukan kotak tambahan untuk menyimpan topi keledar dan baju hujan.
Model tambahan Icon
PCX 150 menggunakan roda aluminium 14 inci bersama tayar tanpa tiub
yang meningkatkan kestabilan dan keselamatannya. Satu lagi ciri
keselamatan yang ada pada PCX ialah enjinnya akan dimatikan secara
automatik apabila tongkat sisi diturunkan.
Untuk perjalanan lebih jauh, tempat duduk yang selesa dan ruang
penyimpanan luas sememangnya amat penting. PCX 150 menyelesaikan masalah
itu dengan tempat duduk luas bersama ciri posisi tunggangan Sit-in.
Terdapat satu kotak konsol untuk meletakkan barangan peribadi seperti
cermin mata hitam dan sarung tangan. Ruang penyimpanan bersaiz XL
berkapasiti 25 liter yang boleh menempatkan sebuah topi keledar muka
penuh turut disediakan.
Skuter maxi itu hadir dalam dua varian. Varian Deluxe tampil dengan
warna putih dan ditawarkan pada harga RM10,888 seunit. Sementara varian
standard boleh didapati dalam warna hitam dan kelabu pada harga RM10,688
sebuah. Kedua-dua varian tersebut ditawarkan bersama insurans
penunggang tunggal komprehensif, jaminan selama dua tahun atau
perbatuan sejauh 20,000km (yang mana tiba dahulu).
Pada majlis yang sama, Boon Siew Honda turut melancarkan skuter lebih
kecil iaitu Spacy. Menjadi model tambahan kepada skuter Icon, Spacy
bagaimana pun menawarkan lebih banyak ruang penyimpanan.
Sebagai contoh, ruang penyimpanan bersaiz XL dengan kapasiti 18 liter
mampu memuatkan sebuah topi keledar full-face tanpa sebarang masalah.
Tangki minyak yang boleh mengisi sebanyak 5.2 liter petrol pula tidak
memerlukan penunggang kerap pergi ke stesen minyak.
Spacy dipasang enjin OHC silinder tunggal bersesaran 110cc empat
lejang yang dikuasakan oleh Teknologi Honda V-Matic. Enjin itu cukup
ekonomikal dan mampu mencatat perjalanan sejauh 41.5km untuk setiap
liter petrol.
Boleh didapati dalam warna hitam, merah dan putih, anda boleh
memiliki Spacy pada harga RM4,999.00 seunit. Itu adalah harga di atas
jalan meliputi insurans penunggang tunggal, jaminan selama dua tahun
atau perbatuan sejauh 20,000km (yang mana tiba dahulu). Spacy juga boleh
didapati dalam warna oren mulai Mac 2013.
No comments:
Post a Comment