ARKIB : 24/07/2011
Transformers 3 : Kecanggihan teknologi tentera AS
SIAPA yang tidak tahu tentang filem aksi sains hebat yang diadaptasi dari siri animasi popular sekitar tahun 80-an ini ? Rata-rata penonton seluruh dunia tidak kira di peringkat umur manapun memang mengetahui tentang kehebatannya.
Ternyata dua episod terdahulu filem ini memang mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja di Amerika Syarikat (AS), namun ke semua negara dari sebelah barat sehinggakan ke benua Asia.
Filem yang berdurasi dua jam 32 minit ini sememangnya menjadi bualan hangat setiap pengkritik filem yang turut menyatakan ini adalah episod yang terburuk serta yang paling meleret.
Tidak kisah apa yang hendak dikatakan, namun filem arahan pengarah terkenal Micheal Bay ini sebenarnya mempunyai kehebatannya yang tersendiri dan matlamat sebenar filem aksi ini perlu dikupas sebaik mungkin bagi memahami intipatinya yang tersembunyi.
Seperti yang sedia maklum, filem ini adalah mengisahkan berkenaan pertarungan dua kumpulan robot yang ingin merebut kekuasaan sejak zaman lampau lagi, kumpulan tersebut terdiri daripada kumpulan baik yang dikenali Autobot dan kumpulan jahat Decepticon.
Lebih menarik, kumpulan Autobot telah bekerjasama dengan golongan manusia di bumi bagi menghalang kemaraan kumpulan Decepticon bagi terus menunjukkan kekuasaan mereka.
Filem yang berlatar belakangkan satu bandar raya terkenal di AS iaitu Chicago, pengarahnya telah berjaya mengubah kawasan bandar yang sibuk itu menjadi satu kawasan peperangan yang amat dahsyat.
Secara logiknya, kekuasaan dan kehebatan robot-robot tersebut dan ditambah pula dengan ketinggian serta saiznya besar, dengan mata kasar memang kudrat manusia tidak mampu untuk melumpuhkan mereka.
Namun dalam filem ini, perkara tersebut tidak boleh disangkal lagi apabila, pasukan tentera khas yang dibimbing oleh ketua mereka, Lennox lakonan Josh Duhamel berjaya dengan membantu pasukan Aotobot yang akhirnya memenangi peperangan tersebut.
Filem ini adalah satu medium yang paling berpengaruh untuk menguatkan lagi tanggapan bahawa pasukan tentera AS adalah salah satu pasukan tentera yang paling hebat di atas muka bumi ini.
Sebenarnya jika diperhalusi, kekuatan mereka tidaklah sehebat mana seperti yang dipaparkan dalam filem, tetapi teknologi peralatan serta teknik mereka membuatkan umum menyatakan mereka sememangnya hebat.
Dengan peralatan dan teknologi yang canggih, mereka mampu untuk menumbangkan beberapa robot dari kumpulan Decepticon.
Dengan pemaparan sut terjun yang boleh mengubah arah dalam filem ini, pasukan tentera AS ini dilihat sebuah pasukan tentera yang sangat hebat tanpa sebarang kecacatan.
Ditambah pula dengan bantuan dari pasukan bantuan mereka yang dilengkapi dengan jet-jet tempur terbaru, sekali lagi mata penonton seluruh dunia menganggap pasukan tentera AS adalah pasukan tentera yang tidak mampu dilawan oleh mana-mana pasukan tentera yang lain.
Medium filem adalah satu medium yang paling besar bagi menunjukkan kekuasaan yang diperolehi oleh setiap negara itu, dan medium ini telah diolah oleh pengarah sebaik mungkin bagi menjayakan tujuan asalnya itu.
Mahu buktikan NASA hebat
Selain itu juga, filem Transformers: Dark of the Moon ini turut mengupas tentang penyelidikan angkasa lepas dengan memaparkan sejarah kejayaan pihak Agensi Angkasa Lepas AS (NASA) yang berjaya mendaratkan manusia pertama ke bulan pada 20 Julai 1969 lalu melalui kapal angkasa Apollo 11.
Filem ini memaparkan tentang dua angkasawan terkenal Neil Armstrong dan sahabatnya Edwin Aldrin yang menemui kapal perang rosak yang dimiliki oleh kumpulan Autobot yang menempatkan pejuang mereka yang dikenali Sentinel Prime.
Penemuan tersebut menjadikan itu adalah satu rahsia kerajaan AS yang paling besar, dan pendedahan tersebut dilakukan setelah rahsia tersebut diketahui oleh Sam Witwicky.
Sedar atau tidak, perkara ini sebenarnya telah menyangkal sejarah asal yang telah berlaku sebelum ini, sejarah yang tertulis selama ini menyatakan dua angkasawan tersebut hanya berjaya membawa balik pasir dari bulan untuk dijadikan kajian.
Selain itu juga, filem ini turut memaparkan tentang percanggahan pendapat di antara NASA dan agensi angkasawan Rusia, perkara ini terbukti apabila pihak Rusia dapat merakam gambar dan menjadikan bukti kehadiran kapal angkasa Autobot lebih kukuh berbanding NASA.
--- UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment