Monday, 17 November 2014

Ducati Diavel 2015

Wartawan Sinar Harian
13 November 2014


Ducati Diavel 2015   


NEXT Bike Sdn Bhd (Ducati Malaysia) baru saja melancarkan Ducati Diavel 2015 sempena acara Asia Ducati Week 2014 (ADW).

Memeriahkan lagi acara pelancaran, pelumba Ducati Corse MotoGP, Andrea Dovizioso dan Cal Crutchlow menghadirkan diri untuk membuka tirai kain yang menutupi model berkenaan di Menara KL Megaview Banquet Hall.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat NAZA, Datuk Wira SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin, Pengurus Besar Ducati Asia, Pierfrancesco Scalzo dan Naib Presiden Bersekutu Next Bike Sdn Bhd, Juan Chow Wee.

Generasi kedua Diavel tampil lebih maskulin dengan saiz tayar belakang besar dan beberapa perubahan kosmetik. Jentera cruiser ini menggunakan enjin Testastretta yang menerima penambahbaikan untuk menawarkan prestasi yang lebih dinamik di samping tahap pengendalian tangkas.

Ducati menggabungkan unsur-unsur gaya hidup dalam penawaran produk untuk memastikan pelanggan memperoleh nilai yang terbaik.

Sistem ekzos yang baharu direka untuk menyediakan satu pengalaman yang lebih halus tanpa kehilangan kuasa mentah Diavel. Selain itu, cruiser jenama premium Itali ini memperoleh pencahayaan LED penuh, sistem sokongan brek ABS, Ducati Traction Control (DTC) dan Ducati Riding Modes.

Enjin 1198cc Testastretta 11° Dual Spark menghasilkan 162 kuasa kuda pada 9,250rpm dan jumlah tork setinggi 130.5 Nm pada 8,000rpm. Angka prestasi ini dilihat sedikit menakutkan, tetapi sebenarnya ia menerima tetapan yang menjadikan ia boleh dikendalikan dengan mudah.

Syarikat yang bertapak di Bologna ini berjaya meningkatkan kurva tork pada rpm rendah, namun begitu tork yang tersedia masih tetap kuat melalui pelbagai julat rev sama ada di pertengahan dan juga tinggi. Kuasa enjin pula diatur sempurna melalui sistem Ride-by-Wire.

Diavel 2015 mengadaptasi teknologi terkini bagi menghasilkan prestasi yang lebih lancar semata-mata untuk menyediakan tahap keselesaan dan fungsi kegunaan.

Model baharu ini dikatakan menyediakan pengalaman tunggangan yang lebih lancar pada kelajuan rendah sekali gus membuktikan jentera ini lebih praktikal untuk digunakan sebagai tunggangan harian.

Enjin baharu Diavel Testastretta 11° ini mencapai satu lagi kejayaan dalam menyediakan tahap kualiti premium dengan membolehkan selang servis major (valve clearance check) di antara 30,000 kilometer (km).

Sistem pencucuhan Diavel 2015 ini diintegrasikan kepada kunci elektronik yang hanya boleh disimpan dalam poket penunggang seperti mana yang ditawarkan Ducati Multistrada.

Ducati menggabungkan teknologi inovatif terkini ke dalam Diavel termasuk penyediaan tiga mod tunggangan: Sport, Touring dan Urban. Dengan memilih mod pada suis di bahagian kiri hendal - walaupun semasa menunggang - tiga mod pra-set akan mengubah watak enjin, tahap respons pendikit dan tahap DTC.

Diavel Carbon di tawarkan dalam pilihan warna merah tradisional Ducati, Matte Carbon dengan bingkai kerangka berwarna merah atau Star White yang menggabungkan warna Matte Carbon berserta kerangka berwarna berwarna putih. Kedua-duanya dilengkapi dengan rim Marchesini berwarna hitam.

Ducati Diavel ditawarkan pada harga yang kompetitif iaitu RM109.888 (harga asas) manakala Ducati Karbon pula berharga RM126,888 (harga asas).


--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version