Angin yang mencukupi dalam tayar dapat menggerakkan kenderaan dari satu tempat ke destinasi lain dengan selamat.
Tayar yang kempis tanpa angin akan mengundang kerosakan pada bahagian penjajaran roda malah boleh membahayakan nyawa pemandu dan penumpang.
Bagaimanapun, baru-baru ini General Motors dan pengeluar tayar Michelin telah mencapai persetujuan untuk membangunkan prototaip tayar jenis baharu.
Rekaan radikalnya dilihat berpotensi menggantikan tayar tiub pneumatik yang telah lama digunakan dalam sektor kenderaan sejak berabad lamanya.
Kata Ketua Pembelian Global GM, Steve Kiefer, tayar tanpa angin itu diberi nama Uptis yang merupakan singkatan bagi Sistem Tayar Unik Tanpa Bocor.
“Langkah ini membawa kita ke satu tahap baharu dalam industri automotif dunia.
“Tayar konsep ini bersedia untuk dipasarkan menjelang tahun 2024,” ujarnya.
Jelas Kiefer, ia hadir dalam bentuk seakan-akan tulang dalam tayar konvensional.
Terdapat tiga komponen utama dalam tayar berkenaan bermula dengan lapisan luar yang diperbuat daripada gabungan getah dan sebatian sintetik.
Ia juga menampilkan corak bunga yang terdapat dalam kebanyakan tayar konvensional yang digunakan kini.
Namun, tayar itu tidak mempunyai lapisan bahagian tepi sebaliknya, prototaip tayar itu menggunakan komposit jejari tahan lasak yang digabungkan pada hab aluminium pada gandar kereta.

Cabaran utama
Menariknya, Uptis tidak akan kempis dan ia juga mustahil untuk bocor mahupun meletup.
Justeru, ia lebih selamat untuk digunakan di atas jalan raya untuk jangka masa panjang.
“Satu daripada lima tayar akan mengalami kehilangan tekanan angin dalam tayar setiap tahun.
“Malah, pengepaman yang tidak betul juga boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya yang menjadi penyebab ribuan kematian sejak dua dekad lalu,” jelasnya.
Meskipun begitu, cabaran utama dalam industri automotif adalah memastikan rekaan tayar tanpa angin itu dapat menyaingi tayar konvensional dari segi prestasi, pemanduan, kecekapan tenaga dan kos.
Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Michelin, Eric Vinesse yakin Uptis mempunyai kelebihan tersendiri menjadikan rekaan tayar prototaip itu relevan untuk dipasarkan.
Katanya, tayar berkenaan kurang menggunakan bahan mentah, rendah tenaga dalam proses pengeluaran dan mampu mengurangkan jumlah tayar terpakai akibat kerosakan.
“Dari segi kecekapan tenaga, Uptis memiliki kelebihan berbanding tayar konvensional lain.
“Bahkan, terdapat manfaat lain yang menjadikan Uptis ini unik seperti kos yang lebih rendah dan jangka hayat yang lebih panjang,” jelasnya.
Setakat ini, Michelin telah menjalankan ujian ekstensif di atas jalan raya menggunakan kenderaan elektrik Chevrolet Bolt.

Manfaat
Teknologi tayar tanpa angin itu memberi pelbagai manfaat bukan sahaja kepada pemandu kenderaan malah planet ini.
Bagaimanapun, Michelin masih belum mendedahkan struktur harga dan jenis atau saiz kenderaan yang sesuai digunakan untuk Uptis.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Michelin, Florent Menegaux berkata, Uptis membuktikan visi Michelin untuk membangunkan mobiliti lestari dapat dilaksanakan.
“Penambahbaikan dalam seni bina dan material membolehkan Uptis menampung beban kereta semasa dipandu di atas jalan raya.
“Sementara itu, tekanan udara dapat disingkirkan sambil menampung berat kenderaan,” ujarnya lagi.
Tambahnya, menerusi kerjasama dengan syarikat seperti GM, mereka dapat berkongsi impian untuk mengubah sektor mobiliti demi menjamin masa depan yang lebih baik.
Bahkan pada hematnya, masalah sebanyak 200 juta tayar rosak akibat pengepaman tidak betul, meletup dan jalan raya tidak sekata di seluruh dunia dapat diselesaikan.
Oleh MUHAMAD IQBAL MOHD. ZAZULI
- Sumber: KOSMO