Sunday 8 December 2019

KAFA berminat dapatkan khidmat Nazrin Nawi

Tarikh kemaskini: 07/12/2019

gambar football-tribe

KOTA BHARU 7 Dis -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan berminat untuk mendapatkan khidmat bekas pemain Melaka United, Mohd Nazrin Mohd Nawi bagi memperkuatkan pasukan Kelantan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman, berkata pemain terbabit berada dalam radar persatuan itu bagi memperkuatkan jentera skuad bimbingan Yusri Che Lah.

"Dia (Nazrin Nawi) dalam senarai kami untuk diumumkan pemain pasukan Kelantan pada 15 Dis ini, “ katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Sebelum ini, KAFA dilaporkan sudah mengenal pasti beberapa pemain import dan tempatan untuk memperkuatkan skuad The Red Warriors (TRW), bagi mengharungi saingan Liga Premier musim hadapan.

Husin berkata pihaknya ketika ini dalam perbincangan dengan pemain terbabit sebelum keputusan dilakukan bersama.

"Nazrin seorang pemain yang mempunyai kualiti dan berpengalaman apabila sebelum ini beraksi bersama pasukan yang besar pada saingan Liga-M seperti Negeri Sembilan, JDT, Perak dan Melaka United.

“Kami berharap perbincangan bersama pemain itu menemui keputusan yang positif," katanya.

Kelantan kekal dalam saingan Liga Premier musim 2020, selepas menamatkan saingan liga di kedudukan kedua terakhir daripada keseluruhan 11 pasukan pada musim ini.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version