Thursday, 2 January 2014

Transformers 4 lebih matang

Oleh Ahmad Nazri Mohamad





TRANSFORMERS: Age of Extinction (Transformers 4) yang bakal menemui peminat di seluruh dunia bermula 27 Jun 2014 dinyatakan sebagai sebuah filem yang matang, jauh berbeza dengan trilogi Transformers sebelum ini. Pengarahnya Michael Bay menjanjikan Transformers 4 satu kelainan pengalaman dengan lokasi penggambaran baru, watak utama yang berbeza dan penampilan robot dengan wajah baru.

Meskipun banyak spekulasi cuba mengaitkan Dinobots (robot dinosaur) bakal membuat penampilan dalam filem terbaru ini, mulut tenaga produksi dan pemain filem ini terkunci rapat dan mereka cepat-cepat mengelak daripada membicarakannya.

Wartawan Harian Metro yang berpeluang mengunjungi lokasi penggambaran Transformers: Age of Extinction di Hong Kong, baru-baru ini, cuba menyingkap apa yang menarik tentang Transformers 4 yang berkisar kepada kehidupan seorang mekanik dengan anak gadisnya ini? Ikuti apa kata pemain filem ini;





Mark Wahlberg (Cade Yeager)

“Watak saya sebagai seorang pencipta, bapa tunggal yang begitu terdesak untuk menjauhkan anak gadis daripada melakukan kesilapan sama yang pernah dia lakukan dengan ibu remaja itu pada satu masa dulu.

Saya enjoy berlakon dalam filem ini kerana ada cabaran dan keseronokannya. Akhirnya, saya dapat jayakan filem yang anak saya dapat juga menontonnya. Anak-anak saya turut diberi peluang oleh Michael (Bay) untuk muncul dalam filem ini sebagai cameo (penampilan tanpa watak). Mereka benar-benar teruja untuk menontonnya. (Tayangan) Jun ini masih terlalu lama buat mereka.

Filem ini memerlukan lebih banyak kekuatan fizikal. Micheal memberi kebebasan untuk saya menghidupkan watak ini sebaik mungkin. Saya tahu apa yang dia nak dan apa yang dia cari. Kami saling menghormati dan menghargai cara dan hasil kerja masing-masing.

Saya lebih gemarkan kereta berbanding robot tetapi apa yang mengagumkan ialah kemampuan teknologi yang dipersembahkan dalam filem ini dan filem Transformers sebelumnya.”


Nicola Peltz (Tessa Yeager)

“Saya menjadi anak remaja lasak tetapi sangat rapat dengan bapanya yang bersifat terlalu melindungi anak perempuannya. Sebelum menjalani penggambaran ini saya mengikuti kem persediaan dengan latihan berlari dan bertinju. Lakonan filem ini amat menggunakan tenaga malah saya terpaksa berlari dengan kasut tumit tinggi. Michael mengarahkan saya melakukan aksi ngeri sedaya mungkin. Saya memang lasak dari dulu lagi, saya seorang pemain hoki.

Robot pilihan saya tentunya Bumblebee dan saya suka naik kereta. Saya ada enam adik beradik lelaki dan mereka amat meminati Transformers dan mereka kenal semua watak robot dalam filem ini.”





Jack Reynor (Shane)

“Saya memainkan peranan teman lelaki Tessa yang tak disukai bapanya Cade. Sungguh menakjubkan apabila diberi peluang terlibat dalam projek (filem) ini. Inilah peluang untuk saya mendapat pendedahan ke seluruh dunia dan dan menempatkan kerjaya saya di tempat terbaik.

Saya dapat tahu diterima menyertai filem ini apabila Michael menelefon ketika saya menjalani penggambaran satu filem di New York. Mula-mula Micheal bergurau mengatakan saya tidak dapat watak itu. Sejurus kemudian, sebaik dijelaskan perkara sebenar, saya terus jatuh ke tanah dan mengucapkan terima kasih padanya dan kemudian saya telefon ibu saya bagi memberitahu khabar gembira ini.”


Li Bingbing (Su Yueming)

“Saya memegang watak Ketua Pegawai Eksekutif sebuah kilang yang menghasilkan alat ganti robot di China. Seorang wanita yang seksi tetapi lasak. Saya amat teruja kerana dapat menyertai filem ini. Saya tak fikirkan sangat berapa besar peranan saya dalam filem ini. Saya hanya mahu lakukan terbaik dan mahu melihat serta belajar lebih banyak bagaimana sebuah filem blockbuster yang belanjanya ratusan juta dolar dibuat. Satu hari nanti saya mahu menjadi penerbit filem.”


Michael Bay (Pengarah)

“Transformers 4 adalah episod baru dalam Transformers. Cerita ini lebih tentang hubungan ayah dan anak serta hubungan gadis itu dengan teman lelakinya. Semua robot transformers direka bentuk semula dengan adunan banyak perkara baru dan segar. Semua perkara direka semula dengan menampilkan perkara baru. Pemilihan pelakon dibuat dengan teliti bagi mengikut kehendak cerita. Anda akan merasai perbezaannya dan apabila menontonnya anda akan faham kenapa kami menggunakan pelakon baru dan kisah baru.

Kami juga menggunakan kamera 3D yang baru bernilai berjuta dolar, bukannya menggunakan kamera 2D dan menukar formatnya kepada 3D. Saya lebih gemar menjalankan penggambaran di lokasi sebenar berbanding di set rekaan. Penggambaran di lokasi sebenar menghasilkan gambar yang sebenar.”


Lorenzo di Bonaventura (Penerbit)

“Transformers 4 menampilkan kumpulan pelakon baru. Perbezaan paling ketara ialah ia mewujudkan kesegaran pada filem ini. Saya tidak ingin bandingkan watak utama Shia LeBeouf dengan Mark Wahlberg. Shia bagus dan Mark juga bagus tetapi Mark mampu lakukan sesuatu yang berbeza daripada Shia. Mark lebih berusia dan ada kredibiliti sebagai pelakon aksi, yang boleh meletakkan watak dalam aksi yang tak mampu dilakukan Shia.

Anda akan nampak perspektif seorang lelaki dewasa berbanding remaja awak 20-an. Ini akan memberi kesan perasaan dan keseimbangan berbeza dengan trilogi Transformers tetapi pada masa sama penonton masih dapat merasai pertalian dengan Transformers 4.

Kami berusaha membawa penonton ke lokasi sebenar berbanding penggunaan kesan visual. Wajah manusia adalah berbeza mengikut tempat. Orang Hong Kong tidak sama seperti rupa orang Los Angeles. Tentang produksi Transformers 5 dan seterusnya, bergantung kepada kejayaan filem ini. Tetapi perkara itu bukanlah sesuatu yang difikirkan sekarang. Buat masa ini kami tumpukan usaha untuk menjayakan filem ini. Amat sukar untuk menghasilkan filem yang hebat.”


Scott Farrar (Penyelaras kesan visual)

“Filem ini berbeza dengan filem sebelumnya kerana direka bentuk semula dengan idea baru dan karektor baru. Robotnya seperti Optimus Prime diberikan gambaran keseluruhan yang sedikit berbeza juga menampilkan ciri-ciri baru seperti lebih kuat, lebih hero, dada bidang dan ketrampilan kepimpinan. Bumblebee pula menampilkan ciri lebih hidup melalui pergerakan mata, keupayaan melahirkan perasaan dan kadang-kadang membulatkan mata seperti anjing comel atau anak patung.

Pergerakan dan transformasi kereta kepada robot atau sebaliknya juga menjadi satu cabaran besar kerana setiap sudut perlu dibuat dengan berhati-hati bagi memastikan ia kelihatan terbaik. Ia juga melibatkan gerakan manusia seperti balet dan jimnastik. Kami berusaha untuk melakukan pergerakan yang akan diabadikan dalam ingatan penonton.”


INFO

JUDUL: Transformers: Age of Extinction
GENRE: Aksi, Pengembaraan, Fiksyen Sains
TARIKH TAYANGAN: 27 Jun 2014 (Amerika Syarikat)
SYARIKAT PRODUKSI: Paramount Pictures, Skydance Productions, Hasbro
PENGARAH: Michael Bay
LAKON LAYAR: Ehren Kruger
PELAKON: Mark Wahlberg, Nicola Peltz, Jack Reynor, Stanley Tucci, Kelsey Grammer, Li Bingbing, Sophia Myles dan T J Miller

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/24

--- HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version