Monday, 11 November 2013
Natalie Portman bunga hati Thor
SELEPAS filem Thor pada tahun 2011, wajah aktres Natalie Portman hilang sebentar dari layar perak.
Menyepi setelah memenangi anugerah Oscar untuk watak Nina Sayers dalam filem Black Swan serta melahirkan permata hati pertamanya, Aleph Portman-Millepied pada Jun 2011, Natalie kini kembali.
Kemunculan semulanya tahun ini umpama balas dendam apabila sebanyak empat buah filem menanti tayangan secara giliran iaitu Thor 2: The Dark World, Knight Of Cups, Jane Got A Gun dan sebuah filem arahan Terrence Malick yang masih belum mempunyai judul.
Filem terdekat menemui penonton sudah pasti sekuel filem Thor iaitu Thor 2: The Dark World yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada hari ini.
Bercakap tentang filem epik yang turut menjalani penggambaran sekitar London, England, Natalie mengakui, dia cukup gembira apabila dapat kembali sebagai Jane Foster dan menjalin semula cinta yang tertangguh dengan Thor.
"Memang seronok dapat kembali sebagai Jane. Bagi saya, sangat sukar untuk mendapat peluang memegang watak sebagai sainstis wanita dalam filem epik seperti ini," ujarnya.
Sambung Natalie, 32, disebabkan cintanya dengan Thor tertangguh dalam filem pertama, sekuel ini menyaksikan mereka kembali bersatu sebagai pasangan.
"Jane masih rindukan Thor tetapi dan cuba meneruskan hidupnya. Bagaimanapun dia marah dan sedih kerana Thor tidak berjumpa dengannya ketika Thor berada di bumi sewaktu menyelamatkan bumi (The Avengers).
"Namun, selepas ditenangkan Thor dan diberitahu alasan yang kukuh, Thor dan Jane menjadi satu pasukan yang hebat bukan sahaja dalam cinta tetapi juga dalam misi menyelamatkan bumi," ujarnya.
Apabila disoal tentang perasaannya ketika bercium dengan watak Thor yang dipegang oleh Chris Hemsworth, Natalie hanya tertawa.
Dia hanya mempunyai ketinggian 162 sentimeter (sm) sedangkan Chris berketinggian 195sm.
NATALIE PORTMAN dan Chris Hemsworth kembali bergandingan dalam Thor 2: The Dark World sebagai pasangan kekasih.
"Saya memegang watak Jane itu kerana saya dapat buat sesiapa kelihatan lebih besar apabila mereka berdiri di sebelah saya. Mungkin penonton tidak sedar tetapi saya seorang yang sangat rendah.
"Biasanya pihak produksi akan menyedia pentas kecil atau bongkah kayu ketika saya berjalan atau adegan romantis supaya wajah saya sentiasa hampir dengan wajah Chris. Bagi saya Chris kekasih yang hebat di layar perak," tutur Natalie membocorkan rahsia.
Luahnya lebih lanjut tentang Chris, ternyata Natalie cukup senang bekerjasama di samping aktor kelahiran Australia itu.
"Saya sentiasa senang dan seronok bekerja dengan Chris kerana dia sentiasa berlawak di set penggambaran. Jika diikutkan, dia paling penat kerana banyak adegan aksi tetapi dia sentiasa penuh dengan tenaga.
"Dia juga seorang yang sangat fokus dengan kerjanya dan saya tidak pernah tertekan sepanjang menjadi Jane di sampingnya," ujarnya.
Terpukau di Asgard
Dalam filem sekuel ini, Natalie turut mengikut Thor ke tempat asalnya di Asgard dan bagi Natalie, set penggambaran yang menjadikan Asgard realiti cukup hebat.
"Set penggambaran cukup hebat. Saya berjalan masuk ke set penggambaran seperti anak kecil yang terpukau dengan keindahan serta kebolehan kru menjadikannya realiti.
"Dalam hati saya berkata, kami sedang buat filem, terlupa yang saya turut berlakon (ketawa). Sebagai pelakon saya amat berbesar hati kerana berpeluang untuk melihat kerja tangan yang halus. Dewan sains di Asgard sangat cantik," katanya.
Selain set penggambaran, pakaiannya dalam sekuel ini turut berubah kerana harus disesuaikan dengan suasana di Asgard bukannya di bumi.
"Semua baharu bagi saya termasuk pakaian mengikut penduduk di Asgard. Jadi, watak saya secara automatik menjadi tidak selesa dengan pakaian yang disarungkan di Asgard.
"Lucunya, Jane telah menggabungkan jaket moden yang dipakainya ketika di bumi dengan gaun Asgard. Gabungan itu memang pelik dan cukup untuk membuatkan orang ketawa," katanya.
Selepas filem Thor dan The Avengers, penonton masih teruja mengikuti watak Thor dan saudara angkatnya, Loki.
Jelas Natalie, perjalanan hidup dan konflik hidup Thor yang mudah dikaitkan dengan kehidupan semua orang menjadi kunci utama kenapa watak Thor terus diminati.
"Thor seorang yang mengharungi kesukaran hidup seperti mana manusia lain. Dia mempunyai masalah dengan bapanya, nasibnya yang harus menjadi raja dan bertarung apa yang ingin dilakukan dalam hidupnya.
"Semua ini merupakan rencah klasik yang menjadi sebahagian dalam kehidupan kita hari ini," tuturnya.
FIGURA jelita ini kini sedang bahagia menjalani rutin kehidupan sebagai isteri dan ibu.
Los Angeles ke Paris
Beralih ke kehidupan peribadinya, Natalie yang berkahwin dengan Benjamin Millipied, seorang koreografer ballet yang ditemui ketika berlakon dalam filem Black Swan, dikhabarkan bakal berpindah ke Perancis pada penghujung tahun depan.
Natalie sanggup meninggalkan Los Angeles demi mengikut suaminya yang menjadi pengarah Paris Opera Ballet.
"Saya amat sukakan Los Angeles kerana ia tempat yang menarik dan penuh dengan kesenian. Apabila Ben bertanyakan kepada saya adakah saya mahu tinggal di Perancis, saya terkejut.
"Semua orang mengidam untuk tinggal di Perancis kerana ia sebuah tempat yang hebat di dunia. Bahasa Perancis saya okey, rasanya tidak ada masalah untuk berkomunikasi.
"Selepas berbincang dan meneliti apa yang patut serta apa yang kami peroleh sepanjang berada di sana, kami bersetuju untuk berpindah pada penghujung tahun depan," tuturnya.
Natalie yang kini tampil dengan rambut paras bahu mengakui, sebelum ini dia seorang yang takut untuk meluahkan pendapatnya kerana bimbang disalah erti.
"Saya tidak suka meluahkan pendapat secara lantang tetapi sekarang saya sudah boleh meluahkan pendapat saya secara terbuka mengikut peredaran masa.
"Saya sedar, sikap saya yang tidak suka beri pendapat sebelum ini adalah cuba membuatkan semua orang suka dan senang dengan saya. Itu pemikiran saya yang tidak matang (ketawa).
"Sekarang saya lebih matang dan boleh berbicara tentang sebarang topik tanpa rasa gentar," akuinya.
--- KOSMO
Labels:
Natalie Portman,
Thor: The Dark World
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment