Friday, 18 April 2014

China Lebar Penguasaan Sukan Badminton Di Pentas Remaja

ALOR SETAR, 16 April (Bernama) -- China membuktikan penguasaan dalam sukan badminton bukan hanya di peringkat skuad senior sahaja malah telah melebarkan kuasa mereka di peringkat remaja.

Ini dibuktikan apabila sembilan daripada 11 wakil negara itu mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia BWF 2014 di Stadium Sultan Abdul Halim di Alor Setar, Rabu.

Tiga pemain perseorangan lelaki, dua perseorangan wanita, tiga beregu wanita dan satu beregu campuran China mara ke separuh akhir manakala satu lagi beregu campuran dan satu-satunya beregu lelaki terkandas di peringkat suku akhir.

Lebih membanggakan kem negara Tembok Besar itu, pemain perseorangan lelaki yang tidak tersenarai sebagai pemain pilihan kejohanan, Lin Guipu mengejutkan pemain remaja nombor satu dunia, Jonatan Christie dari Indonesia 21-17, 21-18 dalam masa 45 minit.

"Saya bermain tanpa sebarang tekanan dan tidak banyak memikirkan untuk menewaskan Jonatan. Saya tidak berputus asa dan memberikan yang terbaik," kata Guipu.

Guipu bakal berdepan dengan rakan senagara Zhao Junpeng yang menewaskan wakil Malaysia, Cheam June Wei 18-21, 21-12, 21-17 dalam pertarungan suku akhir.

"Saya tidak memikirkan sejauh itu...hanya memikirkan perlawanan seterusnya. Menentang rakan sepasukan tidak pernah mudah dan saya sedia turun untuk berjuang," kata Guipu ketika ditanya sama ada beliau meletakkan sasaran untuk muncul juara kejohanan kali ini.

Turut mara ke perlawanan separuh akhir ialah Shi Yuqi yang akan berdepan lawannya dari Indonesia Anthony Ginting yang menundukkan Kanta Tsuneyama dari Jepun 21-13, 21-5.

Bagaimanapun, kem China dikejutkan apabila pasangan beregu lelaki utama Huang Kaixiang/Zheng Si Wei tewas kepada Kim Jae Hwan/Kim Jung Ho dari Korea 21-15, 17-21, 18-21.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita China Qin Jingjing dan He Bing Jiao akan berdepan dua wakil dari Jepun iaitu pemain nombor satu remaja dunia Akane Yamaguchi dan pemain nombor empat dunia, Aya Ohori.

Pasangan beregu wanita remaja China iaitu Chen Qingchen/Jia Yi Fan akan berdepan rakan sepasukan Du Yue/Li Yin Hui manakala satu lagi pasangan beregu wanita Jiang Binbin/Tang Pingyang akan berdepan lawan dari Indonesia Apriani Rahayu/Rosyita Eka Putri Sari.

Wakil tunggal beregu campuran Huang Kaixiang/Chen Qingchen pula akan berdepan Yuta Watanabe/Arisa Higashino dari Jepun.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version