Thursday 17 April 2014

Selangor Tersingkir Daripada Saingan Piala AFC

 
 
KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Selangor gagal meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas kalah 1-0 kepada wakil Indonesia, Arema Cronus dalam aksi kelima kumpulan F di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia, Rabu.

Gol tunggal hasil jaringan penalti penyerang dari Argentina, Gustavo Lopez pada minit ke-45 sudah memadai untuk mereka mara ke pusingan kedua dengan keutipan 10 mata.

Pertahanan Selangor, Muhammad Shahrom Abdul Kalam turut dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana menggunakan tangan bagi menghalang peluang jaringan oleh pemain tuan rumah, pada perlawanan yang turut disiarkan oleh sebuah televisyen berbayar itu.

Arema Cronus mengiringi wakil Vietnam, Hanoi T&T FC yang terlebih dahulu menempah slot ke pusingan kedua selepas menduduki tangga teratas kumpulan F dengan kutipan 12 mata daripada lima perlawanan peringkat kumpulan.

Selangor akan melengkapkan aksi terakhir kumpulan F menentang Maziya Sports and Recreation Club dari Maldives di Stadium Shah Alam manakala Hanoi T&T FC akan menentang Arema Cronus pada aksi terakhir kumpulan F di Stadium Hang Day, Hanoi.

Kedua-dua perlawanan berlangsung pada 23 April ini.

Satu lagi wakil negara, Kelantan tersingkir awal daripada saingan Piala AFC selepas tercorot dalam kumpulan G dengan kutipan tiga mata daripada lima perlawanan.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version