Sunday, 1 June 2014

Toyota Vios banyak ciri baru

Oleh ERYWAN NORSHAL
erywan@hmetro.com.my
TOYOTA VIOS TRD sesuai yang mahukan gaya sporty.

Bermula dari generasi pertama hingga yang ketiga selepas diperkenalkan hujung tahun lalu, tidak banyak rungutan diterima daripada pemiliknya, malah mereka berasa puas untuk memandunya setiap hari.

Generasi ketiga yang dijual melebihi 26,000 unit selepas diperkenalkan Oktober tahun lalu itu hadir dengan karakter lebih mantap de­ngan wajah bergaya dan dinamik, selain menggabung­kan perumah lampu depan menggunakan projektor Halogen bagi varian Toyota Vios TRD serta G.

Bagi mereka yang mahu tampak sporty, Toyota Vios TRD adalah pilihan selepas didatangkan dengan bampar depan dilengkapi lampu LED siang, spoiler belakang dan kit badan bahagian tepi.

Penampilan bergaya itu turut menyalurkan daya aerodinamik lebih mantap dengan pencapaian 0.28 drag koefisien, sekali gus mampu mengurangkan tahap peng­gunaan minyak. Ia juga dilengkapi sirip kestabilan aero untuk mengalir udara di sekeliling kenderaan.

Pembaharuan ruang kabinnya juga tidak ketinggalan selepas jurutera­nya menghasilkan rekaan berkualiti dan menawan, lebih-lebih lagi kerusi dibaluti material kulit bagi varian Toyota Vios TRD serta G.

Ia juga diserikan lagi de­ngan papan pemuka warna hitam Piano yang mampu mengurangkan kesan calar, selain dilengkapi butang penghidup enjin bagi varian spesifikasi penuh.

Model berkenaan dileng­kapi ciri terbaru membabit­kan konsul tempat meletak alatan serta menawar ruang luas untuk penumpang belakang dengan menggunakan konsep lantai rata.

Kedapan bunyi diperting­katkan selepas ditambah penebat dan penyerap untuk memberi ketena­ngan sepanjang pemanduan bagi mengurangkan kebisi­ngan enjin.

Prestasinya dianggap membanggakan apabila menggunakan enjin 1.5 liter VVT-i dengan padanan transmisi empat kelajuan automatik serta boleh ditukar secara manual untuk memberi perbezaan pengalaman pemanduan.

Toyota Vios generasi terbaru diperhebatkan lagi dengan pengendalian terbaik selepas menggunakan kerangka ketegaran tinggi untuk mengurangkan berat badan serta ditambah 100 kimpalan bagi menguatkan struktur.

Kenderaan jenama Jepun itu tidak berkompromi dalam isu keselamatan apabila didatangkan dengan brek cakera depan dan belakang untuk varian Toyota Vios TRD serta G.

Malah, ia turut dilengkapi Sistem Brek Antikunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek, Kesan Menyerap Struktur Badan, beg udara SRS dan ISOFIX.

Bagi memberi pilihan, Toyota Vios didatangkan dengan lima varian membabitkan 1.5 TRD Sportivo A/T, 1.5 G AT, 1.5 E AT, 1.5 J AT dan 1.5 J MT.
--- HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version