Tuesday, 17 November 2015

Kawasaki Ninja 250SL vs Kawasaki Ninja 250

Satu kelas, dua ekspresi berbeza

Oleh SHAWKATH AZDE

Kawasaki Ninja 250SL dilihat bersesuaian untuk kelompok penunggang amatur manakala Ninja 250 pula menawarkan pengalaman tunggangan lebih selesa, sporty dan hamburan kuasa berprestasi.

TINDAKAN Kawasaki Motors Malaysia (Kawasaki Malaysia) melancarkan model Kawasaki Ninja 250SL pada pertengahan bulan Mei lalu mencetuskan beberapa persoalan. Penganalisis industri mendakwa, itu petanda awal ketibaan model Ninja 300.

Bagaimanapun, spekulasi itu segera dinafikan wakil syarikat dengan memberikan jawapan selamat, kononnya kemunculan Ninja 300 masih belum dimuktamadkan. Sebenarnya, Ninja 250SL ialah model pengganti kepada Kawasaki Ninja KRR-ZX150 yang ditamatkan produksi pada akhir tahun lalu.

Ketibaan Ninja 250SL meluaskan lagi rangkaian produk motosikal 250cc Kawasaki. Untuk makluman, Kawasaki Malaysia memiliki rangkaian komprehensif motosikal kelas suku liter. Model-model yang tersenarai dalam kategori itu ialah Ninja 250SL (Sports bike), Ninja 250 (Sports bike), Z250 (Naked), KLX250 (Scrambler), D-Tracker X (Motard) dan VN250 (Cruiser).

Rekaan kompak

Persoalan sekarang, adakah pengenalan Ninja 250SL akan menggugat jualan Ninja 250? Bagi Pengarah dan Pengurus Besar Kawasaki Malaysia, Jeffrey Lim Chee Sing, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana kedua-dua model itu sebenarnya saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Untuk melihat sejauh mana logiknya jawapan Chee Sing, penulis memperoleh lampu hijau daripada Kawasaki Malaysia untuk menguji kedua-dua model Ninja itu.

Kawasaki Ninja 250SL mempersembahkan konsep rekaan kompak seiring dengan maksud SL iaitu Slim (kurus) dan Lightweight (ringan). Model itu lebih ringan 21 kilogram jika dibandingkan dengan Ninja 250.

Enjinnya bukan binaan baharu tetapi dikitar semula daripada unit model KLX250. Bezanya, enjin 250SL diberikan talaan semula untuk meningkatkan prestasinya.

Melihat pada aspek reka bentuk, Ninja 250SL sememangnya kecil jika diletakkan bersebelahan dengan Ninja 250. Aspek kompak itu jelas terpapar pada bahagian fairing hadapan, hendal, tangki minyak dan set pelana.

NINJA 250SL mengetengahkan konsep rekaan kompak dan amat sesuai bagi mereka yang ingin menaik taraf motosikal sedia ada.

Apabila menempatkan punggung atas pelana Ninja 250SL, ia masih selesa. Bagaimanapun, keselesaan itu menjadi satu siksaan jika anda menjadi pembonceng kerana pelana belakang terlalu kecil dan agak keras.

Berbeza pula dengan Ninja 250. Pelananya lebar dan empuk sekali gus membuatkan penunggang dan pembonceng menikmati tahap keselesaan lebih baik khasnya ketika tunggangan jarak sederhana jauh.

Posisi hendal dan perehat kaki Ninja 250SL memposisikan tubuh penunggang lebih ke hadapan. Bar hendal itu juga agak rendah. Tapak kaki kiri pula tidak mempunyai banyak ruang untuk digerakkan apabila ditempatkan di bahagian bawah tuil gear.

Untuk Ninja 250, ia didatangkan dengan bar hendal yang lebih lebar dan ruang kelegaan pada kawasan bawah tuil gear nyata lebih memuaskan. Malah tuil gear model itu adalah sama tinggi dengan komponen perehat kaki.

Jimat minyak

Sepanjang sesi tunggang uji selama tiga minggu untuk kedua-dua model itu, penulis mendapati Ninja 250SL menawarkan ergonomik tunggangan yang lebih sporty dan agresif. Bagi Ninja 250 pula, fokusnya lebih ke arah keselesaan tanpa menjejaskan gayaan tunggangan sport.


Ninja 250SL yang memperoleh kuasa gerakan daripada unit enjin silinder tunggal menimbulkan kesan getaran yang ketara sejurus sahaja kelajuan tunggangan melepasi paras 100 kilometer sejam (km/j).

Memandangkan Ninja 250 menggunakan konfigurasi enjin silinder kembar selari, getaran yang terhasil tidaklah sekuat Ninja 250SL.

Tunggangan dari Kuala Lumpur menuju Ipoh, Perak, penulis lebih gemarkan Ninja 250 kerana ia stabil sewaktu melalui kawasan angin lintang atau memotong kenderaan berat. Jika menunggang 250SL, penulis terasa seperti sedang menaiki sebuah basikal.

Kedua-dua sistem suspensi Ninja 250SL dan Ninja 250 tidak mendatangkan sebarang masalah sepanjang sesi tunggangan sejauh 1,200km. Sebagai opsyen, anda boleh menyelaras monoshock belakang mengikut keselesaan tunggangan.

NINJA 250 didatangkan dengan fairing dan penghadang angin yang lebih besar yang membantu tamparan angin sewaktu tunggangan.

Apabila memasuki kawasan bandar, Ninja 250SL nyata lebih tangkas dan mudah dikemudi ke kiri atau ke kanan jalan tanpa sebarang masalah. Saiz badannya yang kecil juga memudahkan anda menyelinap antara barisan kenderaan dengan lebih pantas.

Ninja 250 pula memerlukan sedikit masa untuk pengemudian antara barisan kenderaan apatah lagi untuk menempuh kesesakan lalu lintas. Kuasa tarikan permulaannya juga sedikit ketinggalan berbanding Ninja 250SL.

Penulis mendapati kipas radiator Ninja 250SL lebih cekap menggalas tugas menyalurkan keluar haba enjin sewaktu tunggangan dalam kawasan bandar berbanding Ninja 250.

Kelajuan maksimum Ninja 250SL adalah 160km/j pada jarak lurus namun anda perlu bersabar untuk mengecapi kelajuan itu kerana ia mengambil tempoh yang agak lama. Untuk Ninja 250, jentera itu mampu mencecah sehingga 170km/j.

Satu tangki penuh minyak petrol bagi Ninja 250SL boleh membawa anda sejauh 230km sebelum petunjuk minyak mula berkerdip-kerdip. Catatan itu diperoleh dengan mengekalkan kelajuan antara 120km/j hingga 130km/j.

Bagi Ninja 250, penulis berjaya mencapai jarak tunggangan sejauh 330km dengan mengekalkan paras kelajuan sama. Perlu diingatkan, Ninja 250 memiliki saiz kapasiti tangki yang lebih besar berbanding Ninja 250SL.

Kawasaki Ninja 250SL ditawarkan pada harga asas sebanyak RM17,689 seunit manakala Ninja 250 dijual pada harga RM22,589 sebuah.

Secara jujur, tag harga yang dikenakan bagi model Ninja 250SL agak mengarut. Apa rasionalnya mengenakan harga setinggi itu untuk sebuah model sport asas?

Harga itu seharusnya disemak semula untuk membolehkan Ninja 250SL menemui lebih ramai pemilik baharu. Jangan tunggu sehingga motosikal itu berselimutkan habuk dalam gudang.

--- KOSMO

3 comments:

  1. peh, style gilaa belog ni. bagus gak. lenkali nak beli moto ke apa boleh baca kat sini dulu. hikhik.

    ReplyDelete
  2. review yg bagus dan mudah difahami.. tebaek! keep it up

    ReplyDelete
  3. good review. perbandingan yang rational dan adil.

    ReplyDelete

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version