LOS ANGELES – Filem Star Wars: The Force Awakens melonjak dengan kutipan AS$120 juta (RM515 juta) di box office Amerika Syarikat (AS) dan Kanada kelmarin dengan potensi memecahkan rekod AS$215 juta (RM922 juta) sehingga malam ini.
Jumlah kutipan tersebut memberi peluang filem yang dinanti-nantikan itu mencatat kutipan hujung minggu pertama tayangan terbesar dalam sejarah.
Angka jualan tiket daripada Walt Disney Co lewat malam kelmarin menunjukkan filem itu mungkin melangkaui rekod AS$208.8 juta (RM895.4 juta) dicatatkan filem keempat francais Jurassic Park bertajuk Jurassic World pada Jun lalu.
Menurut Disney, panggung-panggung wayang juga sedang menyediakan tayangan tambahan bagi memenuhi permintaan di luar jangkaan.
Peminat-peminat Star Wars membanjiri panggung wayang tempatan AS sejak malam Khamis lalu, ramai daripadanya memakai kostum Stormtrooper ataupun Jedi dengan pedang lightsaber, menyumbang kepada kutipan hari pertama AS$57 juta (RM244.4 juta).
Kutipan itu memecahkan rekod tertinggi AS$43.5 juta (RM186.6 juta) untuk hari pembukaan filem terakhir francais Harry Potter pada 2011.
The Force Awakens merupakan yang ketujuh dalam siri fiksyen rekaan pengarah dan penerbit, George Lucas pada 1977.
Disney membelanjakan sebanyak AS$4 bilion (RM17.2 bilion) untuk membeli syarikat penerbit filem tersebut, Lucasfilm pada 2012 serta lebih AS$200 juta (RM857.7 juta) lagi untuk menghasilkan filem berkenaan. – Reuters
--- KOSMO ONLINE
No comments:
Post a Comment