CHICAGO - AMERIKA SYARIKAT. Tindakan seorang pramugari memuatnaik foto beliau berada di enjin pesawat menimbulkan kecoh apabila seorang penumpang membuat aduan, Mei lepas.

Menurut laporan ABC News, Spirit Airlines berkata tindakan Ericka Paige Diehl, 41 untuk duduk di enjin pesawat adalah bertentangan dengan polisi syarikat.

Dalam kejadian tersebut, seorang penumpang ternampak aksi Diehl ketika menaiki pesawat dan beliau kemudian membuat aduan ke stesen televisyen tempatan.

Orang ramai bertindak mempersoalkan tindakan Diehl dan etika kru penerbangan selepas kejadian tersebut.

Bagaimanapun, majoriti kakitangan yang berada dalam industri penerbangan bertindak 'menyokong' tindakan Diehl disifatkan sebagai satu 'tradisi' sebelum kru penerbangan menaiki pesawat.

"Saya ada foto saya di enjin jet. Ramai kenalan saya dalam industri suka melakukan perkara tersebut," kata konsultan penerbangan dan bekas pramugara, Sylvester Pittman.

"Foto Diehl langsung bukan masalah. Perkara yang mungkin menjadi masalah adalah waktu beliau mengambil foto tersebut," kata pramugari dan penulis, Heather Poole.

Diehl yang memuatnaik foto tersebut ke laman sosial Facebook kemudian bertindak memadam foto tersebut untuk mengelak hal tersebut dipanjangkan.

--- SINAR HARIAN