Sunday, 10 May 2015

Honda Odyssey

ARKIB : 16/06/2014
Oleh JOHARDY IBRAHIM
ekonomi@utusan.com.my

REKA bentuk Odyssey kini lebih elegan dan praktikal sebagai kereta keluarga.

HONDA Odyssey dibawa secara rasmi ke pasaran negara ini oleh Honda Malaysia pada 2002. Popularitinya berkembang dengan baik seiring dengan kecenderungan orang ramai memilih kenderaan pelbagai guna (MPV) sebagai kereta keluarga dan dalam konteks ini, Odyssey adalah MPV premium.

Begitu tinggi keyakinan Honda Malaysia tergambar kepada kesungguhannya melancarkan generasi kelima Odyssey hanya dua minggu selepas dilancarkan di negara asalnya, Jepun semasa Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2013 pada November lalu.

Odyssey dijana oleh enjin yang baharu dibangunkan iaitu enjin Teknologi Impian Bumi 2.4L DOHC i-VTEC yang menghasilkan kuasa maksimum 129 kW pada 6,200 rpm dan kuasa kilas 225 Nm pada 4,000 rpm dengan Transmisi Berubah-ubah Berterusan (CVT).

Sesi pandu uji sejauh 400 km sehala dari ibu negara ke Johor, membuktikan enjin Odyssey ini mampu memberikan pecutan dinamik semasa permulaan, teratas dalam kelas penjimatan bahan api dan pelepasan asap bersih yang tiada tandingan bagi pemanduan di jalan raya kota dan lebuh raya. Enjin ini menawarkan output, kuasa kilas dan kecekapan api lebih baik berbanding enjin model sebelum ini.

Kesesakan jalan yang luas biasa bermula dari Pedas/Linggi di Negeri Sembilan, menyaksikan mod ECON dinyalakan dan memastikan pemanduan cekap bahan api dengan kawalan kerjasama sementara fungsi bimbingan menukar warna daripada putih kepada hijau bagi memberi petunjuk pemanduan ekonomi.

Rupa luaran Odyssey menggabungkan kemantapan dan kejituan. Pembukaan besar pada jeriji depan memberi gambaran prestasi tinggi, manakala bentuk jeriji dengan kemasan krom memberi penampilan kekuasaan. Penampilan padu Odyssey memberikannya silhouette maju dan tarikan emosi.

Odyssey menampilkan 'Platform Lantai Ultra-Rendah' yang baharu dibangunkan, dimana ia mewujudkan kabin yang luas seperti yang ada pada MPV kelas besar. Bumbungnya lebih tinggi dan lantai lebih rendah dan oleh itu, ruang dalamannya kini lebih luas hasil daripada platform ini. Dengan pusat graviti rendah dan sistem gantungan dipertingkatkan, platform baharu ini memberikan pengendalian yang stabil dan menyeronokkan serta pemanduan yang lancar. Penumpang akan teruja dengan reka bentuk ruang dalaman yang bergaya apabila melangkah masuk menerusi pintu gelonsor berkuasa.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version