Nik N Hidayat
9 Julai 2015
SELEPAS digembar-gemburkan dalam pelbagai medium
hebahan, akhirnya Kawasaki Malaysia Sdn Bhd (KMSB) mengotakan janji
mereka untuk membawa model tourer kuasa pertengahan ke dalam pasaran
tempatan.
Selepas memperoleh respons pasaran yang baik daripada Versys 650 sebelum ini, KMSB begitu komited untuk membawa versi terbaharu dengan pelbagai penambahbaikan bagi menepati ciri versatilnya.
Walaupun masih menggunakan enjin silinder berkembar selari 650cc yang asal, Versys 650 2015 menerima beberapa perubahan dari segi penggayaan, set suspensi, titik pusat graviti jentera dan tetapan enjin baharu.
Sebab utama mengapa Kawasaki masih mengekalkan penggunaan enjin asal ialah kerana unit penjana kuasa tersebut mampu melakukan segala-galanya - daripada keupayaan menawarkan pelbagai corak tunggangan dalam perjalanan jarak jauh sehinggalah aspek ketahanan dan kebolehpercayaan enjin.
Pada kali ini, Kawasaki telah membuat usaha yang lebih kemas, bukan sahaja untuk memberi Versys 650 gaya baharu yang komprehensif seperti mana Versys 1000, tetapi juga memberi tumpuan kepada kecekapan prestasi pengendalian keseluruhan.
Hampir sama dengan yang versi empat silinder, reka bentuk hadapan dibuat semula untuk menambah ciri penggayaan yang lebih moden dan praktikal.
Jika versi sebelum ini, penulis jujur untuk mengatakan gaya lampu utama hadapan sedikit membosankan dan mungkin membuatkan anda berusia lebih daripada yang sepatutnya.
Melihat dari dekat, reka bentuk baharu Versys 650 melengkapkan ciri dinamik dan menyerlahkan karisma daya kemampuannya.
Skrin pengadang angin hadapan disediakan lebih besar dan boleh disesuaikan mengikut ketinggian dengan hanya melonggarkan dua tombol padanya.
Ketika sesi pengenalannya, KMSB menyatakan sub-frame belakang Versys 650 diperkuat untuk membolehkan bagasi sisi dan top-box dipasang pada masa yang sama.
Pertama kali penulis melabuhkan punggung ke atas pelana Versys, posisi perehat kaki ditempatkan dengan baik dan menjadikan kedudukan tunggangan ergonomik.
Tangki motosikal ini dibuat tidak terlalu besar dan secara tidak langsung memberikan jarak capaian yang baik.
Enjin 649cc yang menyediakan 5 hp lebih daripada model sebelumnya mempunyai jalur penghantaran kuasa yang luas. Tetapan enjin baharu Versys menghasilkan penyebaran tork pada julat rendah dan pertengahan yang amat baik dan lebih sekata.
Tunggangan dalam kawasan bandar tidak menjadi satu masalah terutamanya dalam kelajuan rendah. Penulis beranggapan bahawa jentera ini sesuai untuk digunakan sebagai tunggangan harian. Kawalan pendikit juga lebih teratur dan stabil.
Tunggangan di lebuh raya lebih tenang dalam kelajuan konsisten 140 kilometer sejam (km/j). Kestabilan jentera turut dibantu oleh pelekap getah tambahan yang berjaya mengurangkan kadar getaran enjin dua silinder tersebut.
Prestasi casis juga adalah sangat baik dengan titik pusat graviti yang hampir tepat. Penulis dapat mengendalikan jentera dengan mudah dengan ciri yang lebih sporty. Ciri tersebut diperkuat dengan sistem penggantungan yang disemak semula untuk memberikan pengendalian yang mantap kepada jentera seberat 216 kilogram ini.
Fork Showa boleh laras 41mm menyerap hentakan kecacatan permukaan jalan dengan baik dan gabungan penyerap hentak tunggal boleh laras di bahagian belakang membantu mengukuhkan prestasi kawalan jentera.
Sistem brek yang ditambah baik dengan angkup baharu berserta cakera belakang yang lebih besar cemerlang memberi daya hentian yang berkuasa. Walaupun model awal ini tidak dibekalkan dengan sistem ABS, penulis tidak menjadikan ia sebagai satu isu yang besar kerana secara keseluruhannya jentera ini stabil dan mudah untuk dikendalikan.
Saiz dan ketinggian motosikal memberikan pandangan jelas jauh kehadapan untuk meramal keadaan trafik. Panel instrumen bermaklumat ringkas mudah dibaca dan membolehkan penunggang mengimbas indikator sekali lalu semasa tunggangan.
Sebagai salah satu fungsi utamanya iaitu untuk tujuan perjalanan jarak jauh, Versys 650 tidak mengecewakan dalam hal kecekapan penggunaan bahan api. Tangki 21 liter tersebut sekurang-kurangnya mampu melengkapkan perjalanan 260 kilometer walaupun ditunggang secara agresif.
Secara keseluruhannya, Versys 650 versi 2015 memiliki pelbagai elemen baharu yang lebih berbaloi untuk dimiliki. Ciri penggayaan, prestasi enjin, tahap pengendalian dan faktor ekonomi melayakkan jentera ini dinilai sebagai antara jentera touring kuasa pertengahan yang paling boleh diharapkan.
--- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment