KTM Duke 250 ini menyediakan kedudukan yang lebih bersahaja kepada
penunggang kerana bahagian pemegangnya lebih tinggi berbanding RC250.
Jadi untuk mengharungi laluan bandar dan lebuh raya, penunggang masih
boleh duduk tegak dan selesa.
Meredah kesesakan lalu lintas di ibu kota bukanlah halangan apabila ia
mudah dikendalikan selain kuasa pecutan yang ketara memastikan
perjalanan lancar walaupun meredah ibu kota ketika waktu puncak.
Dari segi kendalian, bar pemegang yang lebar dan kedudukan condong
membuatkan penunggang lebih yakin untuk menyelinap di celah trafik.
Malah, di selekoh juga ia tidak bermasalah untuk mengatasi pemanduan
yang agresif terutamanya dengan bantuan tayar yang lebar.
Kuasa cengkaman disk brek hadapan dan belakang juga tidak mengecewakan
kerana menjalankan tugas dengan cemerlang pada bila-bila masa tanpa
memberikan kesan ketara atau getaran pada penunggang.
Setiap kali membrek kuat pada kelajuan maksimum untuk memasuki selekoh
dan menurunkan gear secara agresif, tayar belakang tidak akan terkunci
atau melompat-melompat, sebaliknya kelajuan pusingannya dapat di selaras
dengan lancar.
Ketinggian dimiliki KTM Duke 250 ini bagi penulis adalah amat
bersesuaian bagi generasi muda yang gemarkan corak pemanduan santai
tetapi memiliki kuasa pecutan ketara.
SERBA BOLEH
Bagi pemanduan di lebuh raya pula, jika sebelum ini penulis banyak
membicarakan kehebatan jentera beraksi ketika jalan kering atau cuaca
panas namun kali ini berbeza apabila jalan basah menjadi taruhan.
Lokasi perjalanan kali ini bermula dari Tol Seremban menuju Tol Sungai
Besi melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Baru sahaja melewati Tol
Seremban, hujan mula turun, penulis sudah pun bersedia awal dengan baju
dan seluar hujan yang terletak dalam beg. Ia merupakan teman sejati
penulis setiap kali menunggang motosikal.
Selesai memakai kelengkapan baju dan seluar hujan, jentera KTM Duke 250
terus dipandu dalam hujan yang agak lebat. Purata kelajuan ketika itu
adalah 80 hingga 110 kilometer sejam (km/j).
KEKAL MOMENTUM
Perasaan gementar bermain di fikiran maklumlah dalam keadaan jalan yang
basah sudah pastinya pelbagai kemungkinan bakal berlaku. Namun
tanggapan itu meleset selepas hampir lima kilometer (km) perjalanan, KTM
Duke 250 ini tidak menampakkan kegagalan beraksi pada laluan basah.
Malah mampu meluncur dengan laju tanpa gegaran mahupun terhuyung-hayang
apabila kenderaan besar memotong.
Sekali lagi peranan tayar dan bar pemegang yang lebar serta kedudukan
condong membuatkan penunggang lebih yakin untuk bergerak pantas walaupun
dalam keadaan jalan basah.
Hujan yang berhenti memberi peluang penulis untuk menguji kemampuan
kuasa pecutan, ia tidak mengecewakan apabila pendikit dipulas dengan
agresif ia mampu mencecah angka 150km/j.
PENGALAMAN BARU
Ternyata perjalanan bersama KTM Duke 250 dalam keadaan basah kali ini
merupakan pengalaman berharga buat penulis yang banyak dibantu kemampuan
KTM Duke 250.
Penulis merasakan KTM Duke RC 250 sangat bersesuaian untuk mereka yang
ingin menikmati sebuah motosikal sport kompak, bukan setakat yang baru
bermula, tetapi yang berpengalaman juga boleh menikmati kehebatan kuasa
pecutan dan tungangannya.
SPESIFIKASI KTM DUKE 250CC
Enjin: Satu silinder, 4 lejang
Sesaran: 248.8cc
Transmisi: Enam kelajuan,
Kuasa maksimum: 31hp @ 9,000rpm
Tork maksimum: 24Nm @ 7,250rpm
Berat: 139 Kilogram
Kapasiti Tangki : 11 Liter
Enjin: Satu silinder, 4 lejang
Sesaran: 248.8cc
Transmisi: Enam kelajuan,
Kuasa maksimum: 31hp @ 9,000rpm
Tork maksimum: 24Nm @ 7,250rpm
Berat: 139 Kilogram
Kapasiti Tangki : 11 Liter
--- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment