Monday, 25 July 2016

Golf lebih murah

Lebih menarik, Golf versi peningkatan 2016 itu didatangkan dengan tambahan ciri. Namun ditawarkan pada harga lebih murah.

Tawaran berkenaan menunjukkan komitmen pihak Volkswagen Malaysia dalam menjadikan modelnya mudah dimiliki. Bagi versi pandu uji, unit yang diterima ialah Golf Highline yang dijual pada harga RM159,888.

Mereka yang memilih versi tersebut akan mendapatkan ciri tambahan Keyless Entry dan Push Start (KESSY), Park Assist, Rest Assist dan sistem pengesan kepenatan. Ia juga tampil dengan rim Madrid bersaiz 17 inci, lampu belakang LED dan tempat duduk bersama fabrik Mel Stripe untuk ‘cengkaman’ yang lebih baik.

Dengan adanya Park Assist memudahkan operasi parkir. Apa yang perlu dilakukan oleh pemandu hanyalah mengawal kelajuan dan bersedia untuk menekan brek apabila perlu. Kawalan stereng dilakukan sendiri oleh komputer. Menurut penulis, ciri berkenaan memudahkan golongan wanita terutamanya mereka yang tidak arif melakukan parkir sisi. Hal ini kerana rata-rata rakan wanita penulis sering kali gagal untuk melakukan parkir sisi.

Menyentuh soal mekanikal, versi Golf Facelift ditawarkan pada enjin 1.4 liter TSI. Bicara soal enjin tidaklah sebesar varian saudaranya dengan lambang GTi. Meskipun begitu kuasa yang dihasilkan penuh dengan kejutan. Ketika diajak memecut, Golf tetap cergas. Cuma di awal pergerakan dan pecutan, kehadiran turbo lag dirasai.

Sebaik pembangunan kuasa mulai berlaku, pecutan yang terhasil begitu lancar. Kekuatan kereta ini tidak berhenti sebatas tenaganya yang buas. Berkat kotak gear DSG 7-kelajuan menjadikan pindahan gear begitu halus dan cepat. Hampir tidak ada sentakan.

Sensasi berbeza ditawarkan ketika tombol transmisi dipindahkan ke posisi ‘S’. Jentera langsung menghempas walaupun dalam posisi permulaan pegun. Faktor bunyi angin hanya dapat dikesan pada kelajuan 140 kilometer sejam ke atas.

Sedangkan untuk kestabilan dirasakan cukup mampan. Suspensi bertugas dengan baik dengan menyerap keadaan jalan yang tidak rata dan beralun tanpa menghantar hentakan ke dalam kabin.

Kawalan stereng juga cepat dan tepat tetapi boleh melakukannya dengan maklum balas yang lebih sedikit.

Bonus buat anda memiliki kenderaan Jerman ini ialah kecekapan bahan api yang cukup efisien. Dengan tangki penuh, penulis dapat melakukan perjalanan sekitar 408 kilometer. Itu pun diperoleh dengan pemanduan agresif ditambah tetapan suhu pendingin hawa yang rendah bersama dua penumpang. Sekiranya dipandu dengan lebih santai mungkin hasilnya adalah lebih baik.

Golf baru adalah sebuah kereta yang sangat disukai dan mampu untuk menyediakan pengangkutan selesa untuk lima orang. Ia mempunyai banyak ciri-ciri praktikal yang ideal untuk  kereta harian dan juga perjalanan jauh.  Tambahan model 2016 ini didatangkan dengan ciri tambahan dan dijual pada harga yang lebih murah.

Spesifikasi GOL F HIGHLINE
ENJIN:
1.4L TSI
KUASA MAKSIMUM: 150PS @ 5,000-6,000rpm
TORK MAKSIMUM: 250Nm @ 1,500-3,500rpm
TRANSMISI: Kotak gear DSG 7-kelajuan
CIRI KESEL AMATAN: ABS, BA, ESC , Parkir brek elektronik, kawalan jarak parkir PDC, dll
HARGA: RM159,888

--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version