Tarikh kemaskini: 11/10/2019
KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Khidmat Ahmad Hazwan Bakri dan Muhammad Fadhli Shah ditagih untuk memperkuatkan lagi skuad Johor Darul Ta’zim II (JDT II) bagi menghadapi UKM FC pada aksi final Piala Cabaran 2019 yang akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam, telah meluluskan pendaftaran dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Muhammad Fadhli Shas dan Ahmad Hazwan Bakri ke JDT II.
Kapten JDT II Shakir Shaari berkata kehadiran kedua-dua pemain berpengalaman dari skuad JDT itu dapat membantu barisan pemain muda yang lain dalam usaha memburu gelaran juara.
“Pada saya kita tahu Hazwan dengan Fadhli memang pemain yang berpengalaman jadi saya harap mereka dapat membantu pemain-pemain muda yang lain dan kami harap yang terbaik dari mereka.
“Musim lepas, kami kalah di separuh akhir dengan UKM dan berasa kecewa kerana kami berharap untuk menjadi juara. Namun saya rasa itu juga menjadi satu motivasi untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama dan kami boleh mencapai satu kejayaan esok,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan akhir Piala Cabaran di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, di sini hari ini.
JDT II membawa bekalan satu gol ke atas UKM FC untuk aksi timbal balik di Stadium Bolasepak Cheras pada Sabtu susulan kemenangan 1-0 hasil jaringan Amirulhadi Zainal dalam aksi final pertama pada 5 Okt lepas.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih JDT II, Ervin Boban berkata kehadiran dua pemain dari skuad JDT itu dapat membantu mengisi tempat beberapa pemain yang mengalami kecederaan termasuk pemain pertahanan Bruno Soares yang mengalami kecederaan pada perlawanan separuh akhir menentang Terengganu FC II (TFC II), September lepas.
"Bruno sudah terkeluar kerana dia mengalami kecederaan, jadi kami mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan daripada Hazwan dan Fadhli untuk memberi kita lebih kekuatan, kecerdasan, pengalaman dan semoga dapat mengubah hasilnya. Sudah tentu, keputusan daripada perlawanan pertama adalah kelebihan tetapi kita menyedari kekuatan UKM dan kita perlu merendah diri dalam keadaan ini.
"Pemain lain sudah siap, mereka tahu apa yang perlu mereka lakukan, siapa yang mereka mewakili, dan selepas musim yang panjang dan perlawanan dengan Sabah dan Terengganu, kami meraih tempat kedua dan sekarang ini satu lagi peluang untuk kami menyelesaikan musim dengan hasil yang baik, "kata Ervin.
Penolong Ketua Jurulatih UKM FC Juzaili Samion berkata kehadiran dua pemain JDT itu tidak memberi tekanan kepada skuad bimbingannya namun ia merupakan cabaran kepada pemain untuk lebih teliti dalam corak permainan pada aksi timbal balik itu.
“Kita ambil ini sebagai cabaran. Ini kali ketiga final bagi UKM FC. Untuk perlawanan kali ini, kami dah buat penambahbaikan dan persediaan sebaik mungkin. Kami akan pastikan UKM FC lebih menguasai perlawanan dan lakukan yang terbaik malam esok,” kata Juzaili.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment