Friday 11 October 2019

Ibu dan dua anak maut nahas tiga kenderaan

Tarikh kemaskini: 11/10/2019


GUA MUSANG, 11 Okt -- Seorang ibu dan dua anaknya maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 29, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, hari ini.

Ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Siti Norhayati Mat Hassan, 25, Nur Bibi Qalesya Mohamad Hanis, 5, dan Mohamad Ilham Haiqal Mohamad Hanis, 2.

Mereka dipercayai berasal dari Rancangan Tanah Felda Chiku 1, di sini dan semasa kejadian itu kira-kira jam 11 pagi mereka dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai.

Sebaik tiba di lokasi, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Satria cuba memotong sebuah kereta di hadapannya yang membelok ke simpang kiri namun kereta mangsa telah bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang datang dari arah hadapan.

Sebuah lagi kenderaan kemudian merempuh bahagian belakang kereta mangsa, menyebabkan kereta yang dipandu wanita itu remuk teruk.

Akibat kejadian itu, anak perempuan sulung mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala manakala mangsa dan anak lelaki bongsunya itu meninggal dunia di Hospital Gua Musang (HGM). Pemandu dua lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu dilaporkan selamat.

Ketua Polis Daerah Supt Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan pihaknya masih menyiasat kejadian itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version