Tarikh kemaskini: 22/10/2019
Drawbridge Terengganu - gambar tripadvisor |
KUALA TERENGGANU, 22 Okt -- Orang ramai berpeluang menikmati hidangan di restoran mewah di bahagian atas Jambatan Angkat atau ‘drawbridge’ di sini, pada Januari tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd Khalizan Mahmud berkata syarikat pengendali restoran tersebut telah dipilih dan kerja-kerja pengubahsuaian akan bermula bulan hadapan.
“Syarikat tersebut dipilih kerana kebanyakan pelanggan mereka terdiri daripada pelancong luar negara dan kita harap dengan adanya restoran itu nanti ia akan membuka mata pelancong seluruh dunia untuk datang ke Terengganu.
“Selain itu, syarikat tersebut mempunyai servis helikopter dan kapal pelancongan sendiri. Kami menjangkakan mereka akan bawa pelancong dari Kuala Lumpur atau tempat lain seperti Pulau Langkawi kerana mereka juga ada (cawangan) di sana,” katanya kepada Bernama di sini sambil memaklumkan nama syarikat tersebut akan diumumkan kelak.
Beliau menambah walaupun restoran tersebut boleh dikategorikan sebagai restoran mewah namun harga makanan dan minuman di situ adalah ‘mampu milik’.
Selain itu, Khalizan berkata pengunjung juga akan dapat menikmati pelbagai hidangan makanan dan minuman sambil menghayati keindahan alam semula jadi muara Sungai Terengganu apabila sebuah kafe terbuka akan ditempatkan di bahagian bawah Jambatan Angkat itu nanti.
Katanya kafe terbuka itu juga akan dikendalikan oleh syarikat yang sama dan akan turut beroperasi pada Januari 2020.
“Ia sesuatu yang unik dan menarik di Terengganu. Rasanya tidak banyak tempat di Malaysia ada keadaan sebegini di tepi muara sungai yang mana pelanggan boleh menikmati makanan dan minuman terutama pada waktu petang,” katanya.
Jambatan angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter dan mempunyai dua menara berkembar setinggi 16 tingkat tersebut dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 1 Ogos lepas.
Jambatan bernilai RM248 juta itu yang menggunakan sistem teknologi hidraulik bascule termaju menjadi jambatan keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus selain tiga jambatan lagi iaitu Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment