Tuesday 5 November 2019

Tiada wabak demam babi Afrika (ASF) di Sarawak - Uggah

Tarikh kemaskini: 05/11/2019

gambar sciencemag


KUCHING, 4 Nov -- Kerajaan Negeri Sarawak menafikan dakwaan terdapat wabak demam babi Afrika (ASF) di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas menjelaskan hanya satu sampel daripada 17 daging babi luncheon dalam tin diimport dari China didapati positif dalam ujian DNA virus itu pada 25 Okt lepas semasa ujian makmal menggunakan “Real Time Polymerase Chain Reaction (q-PCR)”.

“Setakat ini tiada jangkitan demam babi Afrika pada babi dilaporkan di dalam negeri ini. Penemuan DNA (asid deoksiribonukleik) virus itu pada daging babi di dalam tin itu tidak mengubah status bebas ASF Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini dilaporkan berkata, virus ASF di Sarawak belum mencapai peringkat yang membimbangkan dan tidak perlu orang ramai untuk panik, sambil berkata kementerian bekerja rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri untuk menghadapi kemungkinan penularan virus itu.

Uggah berkata kerajaan negeri telah menguatkuasakan pengharaman import kesemua babi dan produk babi dari negara yang dijangkiti ASF termasuk daging babi dalam tin dari China sementara kesemua produk yang terjejas telah dikeluarkan daripada rak.

Setakat ini Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri merampas 220kg produk haiwan di semua pintu masuk ke negeri ini yang dibawa pelawat.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri akan menguatkuasakan Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 bagi memastikan babi dan produk babi yang diimport adalah dari negara yang bebas ASF. Kesemua import memerlukan permit import dan penyeludup akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version