Wednesday, 4 December 2019

Polis buru tiga lelaki menyamar pegawai kesihatan, mencuri di Tawau

Tarikh kemaskini: 03/12/2019



TAWAU, 3 Dis -- Polis memburu tiga lelaki dipercayai menyamar sebagai pegawai Jabatan Kesihatan kononnya mahu memeriksa jentik-jentik di sebuah rumah tetapi telah mengambil kesempatan mencuri barangan berharga di rumah itu di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata kesemua lelaki berumur antara 20-an dan 30-an itu dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat seorang wanita semalam.

"Kejadian berlaku pada waktu pagi, ketika mangsa berada seorang diri di rumah sebelum didatangi tiga lelaki yang mengenakan pakaian serba biru mengakui dari Jabatan Kesihatan Tawau.

"Penyamar ini kononnya mahu membuat pemeriksaan dalam kawasan rumah bagi memeriksa jentik-jentik dan mangsa yang terpedaya membenarkan kesemua suspek masuk, seterusnya rumah mangsa digeledah serta barang-barang dicuri, sebelum ketiga-tiga lelaki ini melarikan diri," katanya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Peter, mangsa berkenaan tidak dicederakan.

Peter berkata polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan ketiga-tiga suspek.

"Hal ini termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada jiran mangsa," katanya.

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah penjenayah.

"Jangan benarkan orang tidak dikenali memasuki rumah, jangan terpedaya mana-mana orang yang mengakui dari jabatan kerajaan," katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat untuk berhubung dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Tawau atau menghubungi jabatan berkaitan untuk mendapatkan kesahihan dan memastikan keselamatan sebelum membenarkan orang yang tidak dikenali memasuki rumah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version