Sunday, 23 February 2020

APM mohon elaun anggota dinaikkan

gambar mStar


IPOH, 22 Feb -- Angkatan Pertahanan Awam  Malaysia (APM) berharap kerajaan dapat menaikkan kadar elaun agensi berkenaan, seperti yang diterima anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab berkata, pihaknya telah menghantar permohonan kenaikan elaun berkenaan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), hujung tahun lepas.

"APM telah majukan permohonan kepada JPM dan JPA, untuk melihat kembali supaya elaun yang diterima RELA, dipanjangkan kepada semua badan uniform.

"Kalau ikut semangat sukarelawan apabila satu-satu agensi menerima kenaikan elaun yang lain juga akan terima, seperti Pasukan Simpanan Tentera Darat dan Sukarelawan Simpanan Polis. Jadi kalau RELA terima sepatutnya yang lain juga terima," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perhimpunan Setia APM 2020, di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Pada majlis itu beliau turut menyempurnakan pemakaian pangkat bagi 10 pegawai kehormat dan bersekutu serta 44 lantikan baru pegawai bersekutu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 pada Oktober tahun lepas mengumumkan kenaikan elaun RM2 sejam, kepada anggota RELA. 

Menurut Roslan, elaun anggota APM ketika ini adalah daripada RM6 sejam dan pihaknya berharap kadar itu dapat dinaikkan sebanyak RM2 kepada RM8 sejam.

Dalam pada itu, ditanya mengenai status pemberian caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 4,200 sukarelawan sepenuh masa, Roslan berkata ia masih di peringkat kajian.

"Perkeso sedang mengkaji prosedur dan skim yang sesuai, ini kerana anggota berkenaan adalah sukarela dan bukannya berstatus tetap," katanya.

Pada November lepas, media melaporkan APM akan memberi caruman Perkeso kepada anggota sukarelawan sepenuh masa bermula tahun ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version