Monday, 18 May 2020

Remaja campak bayi dan teman lelaki direman




17/05/2020 05:34 PM

GEORGE TOWN, 17 Mei  -- Remaja perempuan, yang ditahan kerana dipercayai mencampak bayi yang baru dilahirkannya dari tingkat empat sebuah flat di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru dekat sini Rabu lepas, direman tujuh hari bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A.A Anbalagan berkata remaja berusia 18 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu telah dibenarkan keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Jumaat lepas, sebelum dia direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, teman lelaki remaja itu yang juga berumur 18 tahun turut direman selama enam hari bermula Jumaat, bagi membantu siasatan mengikut seksyen yang sama.

"Selepas ditahan pada Rabu, remaja itu dihantar ke HPP untuk menerima rawatan kerana melahirkan bayi perempuannya dan dia telah dibenarkan keluar pada hari Jumaat lepas selepas keadaannya semakin baik.

"Manakala bayinya masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama dan bayi dalam keadaan stabil. Doktor memaklumkan bayi berkenaan tidak perlu menjalani pembedahan berikutan kecederaan pada otak tidak begitu serius namun masih perlu dipantau rapi," katanya di sini, hari ini.

Anbalagan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk melengkapkan kertas siasatan kes itu sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian Rabu lepas, polis menahan seorang remaja perempuan kerana dipercayai mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat empat sebuah flat yang didiami bersama keluarganya.

Bayi perempuan yang cukup sifat dan masih hidup itu ditemui dalam beg di belakang flat itu dalam keadaan berdarah oleh penghuni flat selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah dalam kejadian pukul 8.00 pagi.

Siasatan polis membawa kepada penahanan remaja perempuan itu yang mengaku melahirkan bayi pada 7.00 pagi di dalam tandas rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga sebelum membuang anaknya dari balkoni selepas panik dan mengelak diketahui ahli keluarga.

Selain kecederaan pada otak, bayi malang itu dilaporkan turut mengalami retak tempurung kepala dan kecederaan pada hati serta perlu dirujuk kepada doktor pakar untuk pemeriksaan lanjut.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version