Monday, 1 June 2020

Pemandu mabuk cuba langgar polis ditahan

foto: sinar harian



31/05/2020 12:51 PM

GEORGE TOWN, 31 Mei -- Lelaki warga emas yang memandu dalam keadaan mabuk cuba  melanggar anggota polis di sekatan jalan raya dalam kejadian berhampiran pusat beli-belah Queensbay, Bayan Baru dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata namun anggota polis yang sedang bertugas itu bernasib baik kerana sempat mengelak dalam kejadian pada kira-kira 10.30 malam tadi.

“Lelaki berusia 64 tahun itu yang tinggal di Taman Lip Sin di sini memandu kereta Ford Fiesta dari arah pusat beli-belah Queensbay menghala ke pusat bandar dan dia diarah berhenti pada pemeriksaan sekatan jalan raya Op Mabuk.

"Namun pemandu tersebut terus memandu malah dia cuba melanggar anggota polis … sebaik ditahan warga emas tersebut bertindak agresif selain mengeluarkan kata kesat kepada pihak polis," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata hasil ujian saringan suspek berada di bawah  pengaruh alkohol dengan bacaan nafasnya 218 mikrogram (mg)/100 milimeter (ml) dan had dibenarkan adalah 35 mg/100 ml.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol yang membawa hukuman denda antara RM1,000 hingga RM6,000 dan penjara sehingga 12 bulan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang polis menjalankan tugas yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version