Wednesday, 18 January 2023

Kelahiran Pramatang - Part 2

 


Komplikasi

Oleh kerana organ-organ bayi belum matang ia akan lebih terdedah kepada banyak masalah yang boleh membawa maut kepada bayi. Antara masalah-masalah tersebut adalah kesusahan untuk bernafas secara normal, kesejukan, kesukaran menyusu, masalah pada penglihatan, usus dan saraf otak bayi.Lebih awal bayi dilahirkan, lagi teruk tahap komplikasinya. Namun masalah ini dapat dikurangkan dengan adanya rawatan hospital pakar yang lengkap dengan perkhidmatan ICU kanak-kanak.

Komplikasi berlaku lebih kerap dan lebih teruk jika bayi kurang dari 32 minggu dan/atau kurang dari 1 kg.


Rawatan

Tujuan rawatan KP tidak lebih dari ingin memperlambatkan masa bersalin selewat mungkin supaya kandungan tersebut dapat mencapai tahap kematangannya. Ubat untuk memberhentikan atau mengurangkan kontraksi akan diberi kepada ibu. Ubat suntikan steroids (sila lihat bawah) juga akan diberi untuk mematangkan paru-paru bayi.

Bayi yang lahir pra-matang ini perlu dijaga dan dirawat di hospital pakar yang lengkap dengan ICU kanak-kanak.  Jika ibu dimaksukkan ke hospital yang tidak mempunyai fasiliti ICU kanak-kanak, ibu akan dipindahkan ke hospital pakar lain dan ubat tokolitik (ubat untuk mengurang/memberhentikan kontraksi) diberi kepada ibu supaya bayi tidak lahir sebelum atau semasa pemindahan. Contoh ubat tokolitik termasuk nifedipine, terbutaline dan atosiban. Ubat ini perlu diberi awal supaya dapat keberkesanannya dan untuk kandungan kurang dari 32 minggu, ubat magnesium sulphate juga akan diberi untuk meminimakan kesan pramatang ke atas otak bayi.

Ubat tokolitik ini boleh memberhentikan sakit kelahiran pramatang kepada lebih separuh dari pesakit KP, bakinya, sakit itu hilang secara sendiri. Sementara itu, ibu-ibu ini akan dapat membawa kandunganya ke tahap matang.  Mereka ini boleh dibenarkan pulang ke rumah, tetapi, nasihat akan  diberikan supaya segera datang ke hospital jika terdapat tanda-tanda bersalin.  Mereka akan dinasihatkan untuk berehat dan mengurangkan aktiviti.


Steroids

Ia diberi kepada ibu untuk membantu kematangan paru-paru bayi pra matang ini. Ubat yang digunakan di KKM adalah dexamethasone dan ia diberi dalam bentuk suntikan di punggung pesakit. Dos yang digunakan adalah 12mg setiap 12 jam untuk 2 suntikan. Kebaikan steroids termasuk:

  1. Mengurangkan masalah pernafasan bayi selepas bersalin disebabkan pra-matang.
  2. Mengurangkan masalah pendarahan di dalam otak bayi selepas bersalin disebabkan pra-matang.
  3. Mengurangkan masalah jangkitan usus bayi selepas bersalin disebabkan pra-matang.
  4. Mengurangkan risiko kematian selepas bersalin disebabkan pra-matang.

Pencegahan

Oleh kerana punca utama KP masih belum diketahui, masalah KP sukar untuk dibendung. Akan tetapi, ada sesetengah keadaan atau tabiat-tabiat pesakit yang boleh mengurangkan risikonya seperti merokok atau penyalah gunaan dadah. Pengambilan ubat progesterone boleh membantu melambatkan kelahiran bagi sesetengah kes jika ia diberikan di antara 16 hingga 26 minggu mengandung dan diteruskan sehingga 36 minggu.


Kontraksi bersalin palsu

Nama lain adalah kontraksi Braxton Hicks. Keadaan dimana rahim mengetat (seperti kontraksi bersalin) kurang daripada lapan kali dalam masa satu jam atau empat kali setiap dua puluh minit. Kontraksi ini biasanya tidak teratur dan tidak sakit. Ia tidak disertai dengan pendarahan atau keputihan dari faraj. Secara umumnya, ia akan hilang dengan berehat. Kontraksi rahim tanpa rasa sakit adalah normal dan tidak meningkatkan risiko mendapat kelahiran pramatang. Malangnya, sukar untuk membezakan antara kontraksi kelahiran pramatang berbanding kontraksi persalinan palsu.

Walau bagaimanapun, jika kontraksi ini tidak hilang atau menjadi lebih kerap serta menyakitkan, ibu dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan perubatan di klinik atau hospital yang berhampiran. Pemeriksaan faraj (salur beranak) mungkin dilakukan untuk menentukan sama ada ibu mengalami kontraksi bersalin atau hanya pengekatan (kontraksi bersalin palsu).


Rujukan

  1. Annual Report on Perinatal Mortality, Malaysia; 1998.
  2. Hospitalisation and bed rest for multiple pregnancy. Crowther CA, Han S, Cochrane Database Syst Rev. 2010;
  3. Green-top Guidelines No. 7: Antenatal corticosteroids to reduce neonatal morbidity or mortality (October 2010)

SUMBER: PORTAL MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version