Wednesday 1 December 2010

Hibrid mampu milik

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
2010/11/28
 
Saingan sengit, pengurangan cukai saksikan perang harga kenderaan mesra alam

SETIAP pembeli kenderaan sememangnya mementingkan keselesaan memandu kenderaan baru dan sudah pastinya faktor harga serta kos petrol diberi keutamaan dalam membuat pilihan.

Andai faktor itu diambil kira, pembeli sebenarnya membuat pilihan bijak jika memilih kenderaan hibrid yang menggunakan teknologi jimat petrol serta mesra alam sekitar.

Berdasarkan kajian Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA), kenderaan hibrid didapati melepaskan gas karbon monoksida 80 peratus lebih rendah berbanding enjin kereta konvensional.

Teknologi Hibrid didefinisikan sebagai kenderaan menggunakan dua atau lebih gabungan sumber kuasa, iaitu gabungan bahan api dan kuasa elektrik untuk menggerakkan motor kenderaan, sekali gus menjimatkan minyak.

Ia bukannya perkara baru kerana hakikatnya sudah dimajukan lebih 100 tahun lalu tetapi kini dibangunkan secara komersial oleh syarikat permotoran gergasi dunia dan kian mendapat sambutan ramai.

Teknologi ini turut menjadi pilihan kerana mengurangkan pergantungan kepada petrol dan diesel berikutan kedua-dua bahan api fosil itu sentiasa terdedah kepada kenaikan harga semasa dunia.

Struktur enjin hibrid yang menggabungkan dua sumber kuasa bertindak dalam pelbagai cara, iaitu hibrid dalam bentuk selari di mana bahan api disalurkan ke enjin tetapi pada masa sama dilengkapi bateri yang membekalkan kuasa kepada motor elektriknya. Gabungan enjin dan motor elektrik itu berfungsi menggerakkan transmisi enjin serentak sekali gus bertindak balas menghasilkan kuasa kepada kenderaan.

Kaedah kedua ialah enjin bahan api tidak disalurkan terus untuk menggerakkan transmisi enjin tetapi penjana yang bertindak mengeluarkan caj aliran elektrik kepada bateri atau kuasa motor elektrik menerusi sumber daripada bahan api itu.

Berita Minggu berpeluang memandu uji model kereta hibrid terbaru keluaran syarikat permotoran gergasi Honda Motor Co. Ltd Japan iaitu Honda Insight yang dikatakan bakal menjadi pilihan ramai di Malaysia kerana menampilkan ciri kegemaran ramai.

Perjalanan hampir dua jam dari bandaraya Tokyo, Jepun menuju ke Motegi, pada jarak dianggarkan lebih 100 kilometer dinikmati sepenuhnya dan dirasakan terlalu cepat dan selesa. Memandu kenderaan mesra alam sekitar itu mencipta pengalaman menarik kerana dilengkapi sistem membolehkan enjin kereta itu terhenti secara automatik ketika berhenti di lampu isyarat atau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Enjin hidup semula sebaik pedal minyak ditekan atau brek dilepaskan, tetapi pemandu boleh memilih jika mahu enjin terus hidup dengan tidak menekan butang 'ECON' bagi membolehkan penghawa dingin terus berfungsi tetapi radio boleh dipasang kerana kuasa disalurkan daripada bateri biasa.

Enjin hibrid bukan saja menjimatkan petrol tetapi menyimpan tenaga dalam 20 unit sel bateri di tempat duduk penumpang belakang setiap kali pedal minyak dilepaskan atau ketika brek ditekan kerana kuasa tekanan itu ditukar kepada cas elektrik.

Walaupun enjinnya cukup teknikal dan canggih, pemandu mudah memahami pergerakannya kerana dibekalkan dengan panel meter yang jelas di ruang panel meter.

Panel meter khas warna hijau dengan logo daun itu sendiri sudah melambangkan alam sekitar dan akan sentiasa memberi petunjuk mengenai tahap kuasa bateri ketika dicas mahupun ketika enjin kereta itu digerakkan.

Bunyi enjin itu langsung tidak kedengaran tetapi pemandu boleh merasai sedikit getaran sebaik saja enjin itu bergerak semula sekali gus memberi kelebihan kerana mengurangkan pencemaran asap.

Berdasarkan kedudukan model itu di pasaran Jepun, harga dan posisi pasaran model Insight berada di kelompok bawah berbanding Civic Hybrid.

Ini bermakna, selepas diperkenalkan secara rasmi tidak lama lagi, dijangkakan harga Honda Insight pada kadar berpatutan dan jika terbukti benar, Insight bakal menjadi antara kereta penumpang hibrid termurah di Malaysia.

Andaian itu berasaskan pengumuman kerajaan berhubung pengecualian duti import dan duti eksais ke atas kereta hibrid siap pasang (CBU) baru melalui Bajet 2011 pada 15 Oktober lalu berkuatkuasa 1 Januari hingga 31 Disember 2011.

Pengumuman itu dianggap satu rahmat kepada pembeli kenderaan dan pencinta alam sekitar kerana berpeluang memiliki kenderaan hibrid menampilkan teknologi hijau serta canggih pada harga mampu milik.

Jadi, memilih kenderaan hibrid adalah pilihan tepat dalam mencari keselesaan dan pada masa sama menyumbang ke arah mengurangkan pemanasan global sekali gus memulihara alam sekitar.

Teringat kata-kata Pengarah Urusan, Perancangan Alam Sekitar dan Keselamatan Honda Motor , Michio Shinohara: ‘Marilah kita sama-sama membina langit biru untuk generasi akan datang.’

Kata-kata penuh makna itu dibuktikan apabila ketika ini pengguna semakin berminat dengan kenderaan hibrib dan Honda sendiri mempunyai 23 juta pelanggan di 28 negara bahkan tidak pernah jemu membuat penyelidikan melalui 43 pusat kajiannya.

Info
Kenderaan hibrid:


  • Gabungan kuasa elektrik dan bahan api petrol.
  • Enjin bahan api lebih kecil.
  • kadar pelepasan asap rendah
  • Motor elektrik sebagai penjana kuasa,
  • Bateri voltan bersaiz kompak yang menyimpan tenaga.
  • Transmisi enjin sama dengan kereta konvensional.
  • Honda memulakan kajian hibrib sejak lebih 35 tahun dulu.
  • 1972 - kejayaan menghasilkan enjin CVCC.
  • PROTON akan memperkenalkan kereta hibrib menjelang 2011.
  • Cetusan teknologi hibrid bermula seawal 1900,
  • Pekerja Lohner Coach Factory, Ferdinand Porsche membangunkan kenderaan 4WD versi hibrid elektrik dikenali Mixte
  • Mixte diperkenalkan ketika Pameran Auto Paris pada 1901.
  • Mixte direka bersama sepasang generator dan dipacu enjin IC Daimler berkuasa 2.5 hp
  • Saintis, Victor Wouk (Bapa Hibrib) membangunkan prototaip HEV sebenar pada 1960 hingga 1970.


    Honda Insight Generasi Kedua

  • Menggunakan enjin SOHC i-VTEC 1.3 liter
  • Enjin dilengkapi sistem ‘Sistem Bantuan Motor’ (IMA),
  • Motor elektrik menghasilkan 13hp (10 kilowat) kuasa untuk membantu enjin.
  • Intelleigent Power Unit' (IPU) membantu membekalkan tenaga kinetik.
  • 3.53 liter bahan bakar untuk perjalanan sejauh 100 kilometer (km)
  • Honda Civic Hybrid menggunakan 5.88 liter bahan api jarak 100 km.
  • Lengkap dengan Mood ECON (kawalan automatik enjin dan elektrik)
  • Rating keselamatan: 6 bintang JNCAP (Pemandu)
  • Rating keselamatanL 5 bintang JNCAP (Penumpang)
  • Ruang kargo (belakang) - boleh memuatkan 3 set beg golf.
  • Lima pintu (termasuk ruang belakang).
  • Honda Insight (generasi pertama) diperkenalkan pada 1999.
  • Honda Civic Hybrid diperkenalkan pada 2003. 

  • --- BERITA HARIAN

    No comments:

    Post a Comment

    Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version