KONSUMER setia Honda di negara Taj Mahal pasti gembira kerana model serba baharu Honda City 2014 rasmi didebutkan secara global di India.
Susulan pelancaran global itu, model sedan segmen-B berkenaan baru sahaja dilancarkan di peringkat Asean di Thailand dengan tawaran enam varian. Harga bagi model tersebut bermula 550,000 baht.
Edisi 2014 merupakan generasi ke-6 dan di negara asal produksinya, Honda City disebut sebagai kereta kecil. Sebenarnya rekaan pertama model City adalah hatchback saat model konsep itu diperkenalkan kepada umum.
Namun seiring perjalanan waktu dan keperluan pengendalian yang dipengaruhi selera konsumer, City melalui transformasi menjadi sebuah sedan kecil.
Perubahan dari model hatchback ke sedan kecil dimulai dari generasi ketiga yang dikenali sebagai Honda City Type-Z sekitar akhir tahun 1990-an. Kini kehadiran model baharu City mampu menjadi indikator kukuh bagi tahun 2014.
Penampilan City terbaru sangat berbeza dengan versi sebelumnya. Di Jepun, sedan kompak tersebut menggunakan nama Honda Fit Aria. Pemakaian platform Honda Jazz atau Honda Fit menjadi alasannya kerana tampilan City 2014 cenderung mirip Jazz 2014 yang terlebih dahulu dilancarkan.
Jika dilihat pada model berkenaan, City memiliki muncung depan yang lebih landai. Rekaan Jazz sangat jelas terlihat untuk grill dan lekukan di tepi badan. Garis lekuk mulai dari pintu depan sehingga di lampu belakang.
Bahagian depan dan belakang kelihatan segar dan menarik. Bentuk bampar lebih sporty ditambah lampu kabus yang direka agresif dan rekaan lampu belakang mirip sedan kelas premium.
Dimensi City menjadi lebih besar di mana lebih panjang sekitar 25 milimeter (mm). Bahagian jarak roda juga bertambah 50 mm dan penambahan tinggi bumbung 10 mm. Namun begitu ukuran lebar City masih lagi dipertahankan. Hasil perubahan saiz berkenaan memberikan ruang kabin yang lebih selesa dan luas.
Sementara itu, di bawah hud City masih mempertaruhkan enjin 1500 cc dengan teknologi SOHC 4 silinder i-VTEC. Enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa 117 hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 146 Nm pada 4,700 rpm.
Namun begitu di India spesifikasi enjin sedikit berbeza dengan kuasa kuasa 117hp pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,600 rpm.
Honda City serba baharu kini juga didatangkan dengan kotak gear CVT 7-kelajuan menggantikan model sebelum ini dengan kotak gear lima kelajuan automatik.
Malah di pasaran India, Honda memberi tambahan pilihan enjin berteknologi diesel 1.5 L DOHC 4-Silinder i-DTEC.
Sementara untuk keselamatan, Honda City yang dilancarkan di India dilengkapi dengan dua beg udara SRS, ABS, EBD dan kawalan kruise. Tetapi konsumer di Thailand menerima ciri keselamatan yang lebih tinggi iaitu ABS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Penghidup Bukit dan Emergency Stop Signal.
Sementara bagi varian V+ dan SV+ menawarkan penambahbaikan beg udara i-Side dan beg udara tirai yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak enam beg udara. Bagi varian yang memiliki tanda plus ‘+’ turut menerima kamera pandang belakang pelbagai sudut dengan tiga peringkat pelarasan.
Di Thailand enam varian ditawarkan bermula dengan model asas, S MT dijual pada harga 550,000 baht (RM55,650), S AT: 589,000 baht (RM59,600), V: 649,000 baht (RM65,670), V+: 689,000 baht (RM69,720), SV: 734,000 baht (RM74,270) dan SV+: 749,000 baht (RM75,790).
Sebagai sebuah kereta bandar yang memiliki pasaran sendiri, Honda semakin serius menggarapnya. City serba baharu kini memanjakan konsumernya.
Bahagian kabin didatangkan dengan sistem hiburan skrin sentuh 7 inci di mana menyokong antara muka telefon pintar dan sistem penghawa dingin automatik dengan panel kawalan sentuh untuk SV dan SV + (varian lain hadir dengan penghawa dingin manual dan sistem audio standard).
Ciri-ciri lain termasuk keyless entry bersama butang penghidup push start dan stereng pelbagai fungsi bersama pedal shifter, kawalan kruise, butang kawalan audio dan tukaran telefon tanpa ganggang untuk SV dan SV+.
Didatangkan dengan tujuh warna pilihan, Honda menyatakan generasi City yang keenam itu adalah hasil pembangunan berasaskan keperluan dan selera konsumer di India, Thailand, Indonesia, dan beberapa negara Asean lain.
No comments:
Post a Comment