Yamaha MT-07
Yamaha MT-07 dilengkapi dengan casis padat dan lebih ringan
NAMPAKNYA, trend industri dua roda tempatan semakin menarik dengan
pelbagai variasi model baharu dan pelbagai usaha daripada pengeluar
untuk kekal kompetitif. Begitu juga dengan jenama popular dari Jepun,
Yamaha.
Selepas memperkenalkan varian MT-09 dalam pasaran Eropah, pengeluar itu semakin sibuk dengan program pemasaran MT-07.
Ramai yang sudah mula bertanyakan bilakah MT-09 akan berada dalam pasaran tempatan.
Merujuk kepada Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), berkemungkinan besar
jentera tiga silinder itu akan mula berada dalam pasaran pada hujung
tahun ini.
Kehadiran MT-09 ke dalam pasaran tanah air akan disertai MT-07, tetapi
pelancarannya tidak dijanjikan pada waktu yang sama. Yamaha MT-07 akan
dikuasakan enjin silinder berkembar selari berkapasiti 689cc.
Jentera ini merupakan satu pendekatan baharu dari Yamaha yang
menggunakan enjin berkembar silinder selari sebahagian daripada falsafah
“crossplane” Yamaha untuk menghasilkan tork lebih linear dan daya
pecutan yang cemerlang.
Yamaha MT-07 dilengkapi dengan casis padat dan lebih ringan untuk
memastikan tahap prestasi pengendalian dan ciri ketangkasan yang luar
biasa.
Di atas kertas MT- 07 mempunyai pengeluaran kuasa maksimum sebanyak 74 kuasa dengan tork maksimum 68 Nm.
Menurut Yamaha, angka kapasiti enjin luar biasa yang diperkenalkan
adalah untuk memberi gabungan terbaik dari segi penyampaian kuasa dan
jumlah tork optimum di samping penggunaan bahan api lebih ekonomi.
Prestasi enjin DOHC tersebut dijanjikan untuk lebih fleksibel dan
menawarkan jumlah tork yang lebih progresif pada rev rendah sehingga ke
julat rev pertengahan.
Putaran enjin dikatakan lancar untuk mencapai had 9,000 rpm di mana kuasa maksimum 74 hp dihantar.
Kuasa enjin dipindahkan melalui transmisi enam kelajuan dengan sokongan
klac cakera basah berganda. Kuasa berhenti pula terjamin oleh sistem
brek cakera berkembar hidraulik di bahagian hadapan dan cakera tunggal
hidraulik di bahagian belakang.
Dengan berat keseluruhan 179 kilogram (kg), ia menawarkan ketinggian
tempat duduk yang sederhana tinggi dan sesuai untuk penunggang bersaiz
Asia.
Berkenaan soal harga, sudah pasti ia akan ditawarkan lebih murah
berbanding MT-09 yang berkemungkinan besar akan dijual sekitar RM50,000
hingga RM60,000. Kami menjangkakan MT-07 akan dijual di antara RM35,000
hingga RM42,000.
YAMAHA MT- 07
Enjin: 689cc empat lejang silinder berkembar selari
Transmisi: 6-kelajuan
Kuasa maksimum: 74 hp @ 9,000 rpm
Tork maksimum: 68 Nm @ 6,500 rpm
--- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment