BATMAN vs Superman: Dawn of Justice menjadi antara
filem yang dinanti-nantikan semua. Apatah lagi buat peminat dan pembaca
setia DC Comics.
Bagaimanapun sebaik menemui penonton di Malaysia 24 Mac lalu, rata-rata
pembaca tegar komik adiwira tersebut meluahkan rasa kecewa kerana jalan
cerita yang jauh menyimpang daripada komik tersebut.
Namun penulis yang tidak berkesempatan membaca komik, akan menilai filem ini berdasarkan apa yang telah penulis tonton.
Batman vs Superman: Dawn of Justice membawa penonton kembali kepada
kejadian yang berlaku dalam Superman: Man of Steel, di mana pasukan
Jeneral Zod menyerang Metropolis menyebabkan bandar tersebut hampir
musnah.
Tetapi dalam kejadian ini, pejabat Wayne Finances milik Bruce Wayne
telah runtuh akibat pertembungan pasukan Jeneral Zod dengan Superman
menyebabkan rakan Bruce Wayne mati dalam runtuhan tersebut.
Ini menyebabkan Bruce Wayne berdendam kepada Superman dan berazam musnahkan Superman.
Sedikit sedutan daripada babak Superman: Man of Steel itu telah
selitkan di awal babak pertama filem ini. Bagi mereka yang tidak
menonton Man Of Steel, jangan bimbang kerana 90 peratus jalan cerita ini
akan difahami oleh anda.
Berbalik kepada filem ini, Superman bukan sahaja didendami oleh Bruce
Wayne tetapi kebanyakan penduduk sudah mula hilang kepercayaan dan
mempertikaikan kewujudannya.
Dalam masa yang sama, Lex Luthor, pemilik syarikat Luther Corp telah
menjumpai seketul Kryptonite yang besar, cukup besar untuk membina
senjata yang boleh membunuh orang-orang planet Krypton, termasuklah
Superman.
Namun, dia juga ingin menumpaskan Batman dan muncul sebagai wira baharu di bandar tersebut.
Perjalanan cerita ini pada pandangan penulis sedikit perlahan pada
awalnya kerana dipenuhi dengan babak imbas kembali mengenai keluarga
Bruce.
Bukan itu sahaja, di sebalik pertukaran babak melibatkan Superman/Clark
Kent, Batman/Bruce Wayne, penonton disuapkan pula dengan kehadiran
Diana Prince/Wonder Woman dan ia secara tidak langsung sedikit
mengelirukan penonton.
Hanya pada babak pertarungan melibatkan Superman dan Batman bermula, baru penulis merasakan ia agak menarik untuk ditonton.
Bagaimanapun penulis tidak berpuas hati dengan dendam mereka yang berakhir begitu sahaja hanya kerana satu sebab.
Jesse Eisenberg menyerlah
Dari segi prop, CGI (imej janaan komputer) tiada apa yang perlu
dipertikaikan dan rasanya semua orang tahu bagaimana hasil kerja tenaga
produksi Hollywood melibatkan prop, CGI dan sebagainya.
Namun dari segi lakonan, baru kini penulis faham mengapa ramai yang
pertikai pemilihan Ben Affleck membawa watak Bruce Wayne/Batman.
Penulis melihat team produksi cuba untuk mencari kelainan, namun pemilihan itu dilihat kurang sesuai.
Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada Affleck kerana dilihat mencuba sebaik mungkin menjayakan watak itu.
Manakala lakonan Henry Cavill pula tampak menyerlah dan dia berjaya menjiwai watak dengan baik.
Namun pujian tertinggi harus diberikan kepada Jesse Eisenberg sebagai
Lex Luthor. Biarpun kemunculannya tidak memberi kesan yang ketara dalam
filem tersebut, namun lakonan yang diberikan Eisenberg sangat baik.
Membawakan perwatakan yang psikotik, Eisenberg membuatkan penonton
merasa menyampah dan kadang kala terhibur dengan kegilaan yang
dipamerkan.
Hanya kemunculan seketika Gal Gadot sebagai Wonder Women/Diana Prince yang membuatkan penulis kurang berpuas hati.
Namun penulis percaya pihak produksi sudah mempunyai perancangan lain. Apa perancangan mereka? Sama-sama kita nantikan.
- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment