Monday, 21 October 2019

Lebuhraya Kota Bharu-Krai beri keselesaan kepada rakyat

Tarikh kemaskini: 20/10/2019


KOTA BHARU, 20 Okt -- Pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan jalan raya di Kelantan terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan.

Pengguna jalan raya yang sering berulang alik dari Gua Musang ke Kota Bharu Adnan Ahmad, 47, berkata dengan adanya kemudahan itu, orang ramai mampu menikmati jalan yang lebih selesa dan menjimatkan masa.

“Biasanya dengan menggunakan jalan sedia ada, saya perlu berada lebih tiga jam dari Gua Musang ke Kota Bharu. Jika projek lebuh raya ini siap sepenuhnya, saya jangkakan perjalanan akan lebih singkat, mungkin mampu jimatkan masa kepada dua jam sahaja.

“Buat masa sekarang saya hanya mengambil masa lebih kurang lima belas minit dari Kadok ke Kota Bharu menggunakan lebuh raya itu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambahnya kemudahan itu juga akan mengelakkan pengguna jalan raya daripada terperangkap di jalan yang terputus akibat dilimpahi banjir.

Seorang lagi pengguna lebuh raya, Mohd Azuan Ab Rahman, 30, berkata selepas lebuh raya dari Kadok ke Wakaf Che Yeh siap, beliau hanya mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk pulang ke rumah ibunya di Selising.

“Selalunya saya berdepan kesesakan di beberapa simpang ke Kota Bharu sebelum sampai di rumah mentua yang terletak berdekatan Kota Bharu. Dengan siapnya lebuh raya ini, kami pengguna lebih selesa dan dan saya sendiri mudah untuk berulang alik dari Kota Bharu ke Selising,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan itu sebagai satu rahmat kepada penduduk negeri Kelantan kerana sebelum ini tiada sebarang lebuh raya di Kelantan.

Projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dengan jarak keseluruhan 61.4 kilometer adalah satu daripada projek berimpak tinggi yang disediakan kerajaan Persekutuan kepada Kelantan dilaksanakan secara berperingkat menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Projek tersebut kini memasuki fasa 2A iaitu dari Kadok ke Ketereh (6.75 km) selepas pakej 1B (Pasir Hor ke Kadok) siap Julai lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version