Tuesday, 8 October 2019

Tip asas buat penunggang motosikal

Motosikal terutamanya berusia dua tahun ke atas atau perlu menempuhi perjalanan jauh setiap hari memerlukan penjagaan terutama pada bahagian penting. la harus diambil perhatian sewajarnya demi menjamin keselamatan ketika menunggang.

Bagaimanapun ada pengguna motosikal langsung tidak ambil berat atau menjaga tempoh servis yang betul, kita hidupkan enjin dan terus menunggang.

Namun tahukah anda ada beberapa bahagian harus diperiksa tiap kali sebelum mulakan perjalanan. Ini bagi memastikan motosikal anda selamat untuk ditunggang sama ada untuk ke tempat kerja mahupun berkonvoi di hujung minggu.


Saluran getah minyak

Pastikan ia tiada kebocoran, rosak atau kembang. Sekiranya terdapat tanda-tanda kebocoran atau bau minyak, jangan tunggu lama dan terus ke bengkel berhampiran untuk menukar yang baru.


Brek

Ini antara bahagian terpenting bagi memastikan keselamatan terjamin. Periksa tekanan brek depan dan belakang, minyak brek mencukupi, lapisan brek (break pad) atau servis setiap enam bulan. Pastikan juga lampu brek menyala bila ditekan.


Tayar

Periksa tekanan angin agar mencukupi mengikut bacaan tepat pada tayar depan dan belakang. Tayar harus ditukar sekiranya terdapat rekahan terutama pada usia hampir setahun atau sering menggunakannya untuk perjalanan jauh. Gunakanlah tayar bermutu tinggi terutama bagi mereka yang kerap berkonvoi atau suka menunggang laju demi menjamin keselamatan ketika menunggang.


Minyak enjin

Paras minyak enjin harus diperiksa agar tepat dan mencukupi. Enjin tidak akan bermasalah jika penjagaan atau pertukaran minyak mengikut masa atau jarak kilometer ditetapkan. Ini penting untuk memastikan kelancaran dan ketahanan enjin. Penggunaan minyak enjin yang berjenama adalah digalakkan untuk kelancaran berpanjangan.


Rantai motor

Semburkan rantai motor anda dengan penyembur minyak rantai pada setiap 300 KM perjalanan atau dua hari sekali. Rantai kering, berkarat akan rosakkan sprocket atau boleh menyebabkannya putus. Rantai terlalu lama digunakan atau longgar, keras, berkarat dan sebagainya harus ditukar bersama sprocket depan dan belakang. Rantai harus diikat tak terlalu ketat atau longgar.


Tali kabel

Periksa kesemua tali kabel iaitu brek, klac dan minyak. Pastikan kelembutan bila ia ditarik. Ini penting kerana tali kabel yang keras dan berkarat akan menyebabkan ia putus atau keras bila ditarik dan akan mengganggu kelancaran penunggangan.


Lampu dan bateri berfungsi

Seelok-eloknya periksa lampu hadapan, belakang dan lampu membelok sebelum memulakan perjalanan. Ini amat penting terutama ketika menunggang sewaktu hujan. Jangka hayat bateri yang dijaga dengan betul ialah antara satu hingga dua tahun sahaja. Sila periksa tarikh terakhir yang anda tukar.


--- SINAR HARIAN (24 Oktober 2013)

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version