Tuesday 10 December 2019

Cuepacs adakan perbincangan bersama LPPSA turunkan kadar wakalah

Tarikh kemaskini: 06/12/2019


KOTA KINABALU, 6 Dis -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dalam proses perbincangan bersama Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi mengurangkan kadar wakalah yang dikenakan kepada penjawat awam yang membeli rumah melalui pembiayaan LPPSA.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata perbincangan itu telah masuk siri ketiga dan keempat bagi menentukan kadar wakalah yang patut diambil oleh LPPSA.

“Kami amat berharap agar kadar wakalah dikurangkan daripada 49 peratus kepada sekurang-kurangnya 25 peratus, yang meliputi peruntukan insurans kepada LPPSA dan kepada ejen-ejen mereka,” katanya kepada Bernama selepas Program Pendidikan Berkesatuan Dalam Perkhidmatan Awam bersama Cuepacs, di Perpustakaan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Azih berkata Cuepacs berharap dengan pengurangan itu akan dapat dipulangkan kembali kepada peminjam iaitu apabila kadar premium insurans dapat dikurangkan daripada kadar yang sepatutnya akan memberi peluang kepada penjawat awam meningkatkan kadar pembiayaan itu.

Beliau berkata dalam keadaan kos sara hidup tinggi pada ketika ini, LPPSA diharap akan dapat memberi pengurangan itu kerana kadar yang perlu dibayar kepada LPPSA adalah sangat tinggi.

Katanya, kadar komisen sahaja dibayar sebanyak 15 peratus kepada LPPSA dan jumlah keseluruhan lebih 40 peratus.

Pada 26 Jun lepas, Cuepacs menggesa LPPSA menurunkan caj pengurusan bagi insurans kediaman yang dianggap tinggi dan membebankan penjawat awam.

Caj pengurusan sebanyak 45 peratus bagi premium insurans kediaman yang ditetapkan LPPSA adalah terlalu tinggi menyebabkan kadar bayaran bulanan untuk pinjaman perumahan meningkat sekali gus menyukarkan penjawat awam memiliki rumah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version