Thursday 23 January 2020

KAFA mahu pemain TRW jadi ejen perpaduan

Tarikh kemaskini: 22/01/2020



KOTA BHARU 22 Jan -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mahu barisan pemain Team Red Warriors (TRW) menjadi ejen penyatuan dalam memperkukuh lagi perpaduan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Presidennya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata sukan adalah ejen penyatuan terbaik yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan keharmonian antara kaum terus kukuh.

“Sudah menjadi hasrat kita untuk melihat TRW dan pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan.

“Saya melihat kehadiran pemain import yang telah disyaratkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mampu merealisasikan lagi hasrat itu," katanya kepada pemberita pada Program Agihan Limau Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Pada saingan Liga-M musim ini Kelantan mempunyai dua wakil iaitu TRW dan Kelantan United (KUFC) yang beraksi pada Liga Premier.

Wan Abdul Rahim berkata ejen berpaduan itu dilihat apabila rata-rata pasukan dibarisi pemain pelbagai kaum yang beraksi pada saingan Liga-M untuk memperkuatkan pasukan masing-masing.

"TRW sendiri ada empat pemain import daripada latar belakang negara berbeza seperti Nigeria, Liberia, Afrika Selatan dan Korea.

"Kesemua ini sebenarnya sudah melambangkan keharmonian kaum dalam sukan bola sepak dan peminat sendiri," katanya.

Beliau berkata, walaupun berbeza bangsa, budaya dan agama, namun sukan bola sepak mampu menyatupadukan pemain untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu pertandingan.

"Kami berharap TRW mampu mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Kelantan dengan sokongan peminat dalam semangat perpaduan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version