Thursday 23 January 2020

Kelantan United amal perbelanjaan berhemah hadapi Liga-M 2020

Tarikh kemaskini: 22/01/2020



KUALA LUMPUR, 22 Jan -- Pendatang baharu Liga Premier 2020, kelab bola sepak Kelantan United (KUFC), mengamalkan perbelanjaan berhemah termasuk mendapatkan pemain import berkualiti bagi mengelakkan pasukan berkenaan terjerumus ke dalam masalah pembayaran gaji yang pernah dialami beberapa pasukan sebelum ini.

Jaminan berkenaan diberikan oleh Presiden KUFC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang mendedahkan bahawa pengurusan pasukan lebih memberi pendekatan dengan memberi peluang kepada anak jati Kelantan untuk mengasah bakat bersama pasukan berkenaan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim ini.

“Kami telah sedari daripada awal perkara ini iaitu, dari segi pengambilan pemain termasuk tonggak import, iaitu ukur kemampuan daripada baju sendiri dan tidak terlalu terdesak dalam soal dapatkan pemain bintang.

“Ini adalah semangat umum yang kita ada bagi memastikan kami tidak akan alami masalah dalam soal pembayaran gaji, elaun dan sebagainya kepada pemain pada pertengahan musim,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), hari ini.

Dalam pada itu, Che Abdullah mendedahkan banyak perkara yang perlu dipelajari pasukan berkenaan selepas melangkah daripada saingan bertaraf amatur kepada profesional pada musim ini, termasuk memenuhi peraturan yang ditetapkan oleh MFL yang merupakan pentadbir Liga Malaysia.

Kelantan United mengekalkan penyerang import dari Gambia, Gassama AlFussainey, selain menambah dua lagi pemain import iaitu Adil Kouskous dari Maghribi serta Alyton Alemeo dari Brazil bagi memperkuatkan cabaran pasukan berkenaan pada musim ini.

Pasukan itu layak ke saingan Liga Premier musim ini selepas muncul juara Liga M3 2019.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version