KAPAL Selam KD Tunku Abdul Rahman berlabuh di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Sabah.
HUJUNG minggu lepas, sehari sebelum dan pada hari perjanjian damai
Bangsamoro ditandatangani di Manila, saya berkesempatan melawat ke
pangkalan kapal selam kita di Teluk Sepanggar dekat Kota Kinabalu,
Sabah.
Bagi sesiapa sahaja, kesempatan itu tidak boleh ditolak sama sekali.
Ini kerana jika dibayar sejuta ringgit sekali pun, tiada sesiapa pun
dibenar menaikinya. Kami dibawa masuk ke dalam perut kapal selam jenis
Scorpene itu. Kapal yang kami masuk ialah Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul
Rahman.
Pengalamannya tiada ternilai. Atas faktor-faktor strategik, maaf
tiada gambar yang boleh diambil di dalamnya. Sebenarnya saya sudah lama
mengikuti perkembangan kapal selam kita dan pernah melawat ke Cherbourg,
Perancis semasa pembinaannya dulu.
Untuk pengetahuan semua, TLDM yang merupakan sebahagian daripada
Angkatan Tentera Malaysia memainkan peranan penting dalam menyediakan
sokongan tentera laut dan pelengkap dalam menjaga kedaulatan negara.
Peranan utama TLDM ialah memberi perlindungan kepada perairan negara,
termasuk Zon Ekonomi Eksklusif yang dikawal dan dipertahankan setiap
masa.
Kini, TLDM dilengkapi dengan kapal perang moden yang canggih dan
setanding dengan perkembangan teknologi peperangan maritim semasa.
Antara persenjataan moden yang dimilikinya adalah peluru berpandu,
meriam jarak jauh dan anti kapal selam.
Pada 3 September 2009, sejarah ditempa negara kerana buat
julung-julung kalinya kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman
(KD TAR) tiba di Pusat Hidrografi Nasional, Pulau Indah.
Kemasukan kapal selam dalam inventori aset Armada TLDM, bukan sahaja
meningkatkan keupayaan armada bahkan melengkapkan keupayaan peperangan
tiga dimensi, iaitu peperangan bawah permukaan, peperangan aras
permukaan dan peperangan anti udara.
KD TAR merupakan kapal selam pertama daripada dua buah kapal selam
milik negara yang dilengkapi dengan aset persenjataan torpedo dan peluru
berpandu jarak jauh anti kapal permukaan yang boleh ditembak dari bawah
permukaan air.
Scorpene, kapal selam jenis tempur konvensional yang dibina di
Cherbourg, Perancis oleh DCNS dan syarikat pengeluar kapal selam,
Navantia mampu mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200
meter.
Pada 15 Julai 2010, kapal selam kedua negara KD Tun Razak telah tiba
di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Sabah, iaitu pangkalan bagi kapal
selam negara.
KD Tun Razak dikendalikan 32 anggota tentera laut yang mengikuti
latihan kapal selam di Perancis selama empat tahun. Ia adalah aset
berharga negara yang digunakan untuk mengawal kedaulatan perairan
negara.
Perairan tanah air kita dibatasi oleh: Garis Bujur 109 darjah Timur
sehingga 121 darjah Timur dan Garis Lintang 1 darjah Utara sehingga 8
darjah Utara.
Merangkumi Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia serta sempadan
Pelantar Benua. Pantai sepanjang 2,402 km bersamaan 1,320 batu nautika.
Keseluruhan kawasan Maritim adalah 310,611.5 km persegi.
Aset itulah yang kini dihina sehina-hinanya oleh pihak pembangkang.
Pernah mereka mendakwa kapal itu tidak boleh menyelam. Setelah terbukti
ia memang boleh menyelam dan mampu menjaga keselamatan tanah air, kini
isu lain pula yang dibawa mereka.
Lim Guan Eng, yang telah dibawa menyelam di dalam kapal itu, masih
berat mulut mengatakan kapal itu boleh menyelam, semasa ditanya oleh
wartawan! Itulah sifat dan sikap pembangkang Malaysia.
Kini, setelah isu selaman lenyap, mereka menuduh pula berlaku
penyelewengan dalam urusan pembeliannya. Mereka menuduh harganya terlalu
mahal.
Apa tujuan mereka, kita hanya boleh andaikan ia adalah permainan
politik semata-mata. Permainan yang bertujuan untuk membangkitkan rasa
marah dan benci rakyat kepada kerajaan semasa.
Mungkin, mereka mahu menutup banyak sangat kelemahan yang berada di
pihak mereka sendiri. Di Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah pun
pelbagai masalah dan kelemahan yang wujud.
Kasihan kepada anak-anak buah dua kapal selam itu - KD Tunku Abdul
Rahman dan KD Tun Razak. Moral mereka semacam dicabar dengan tohmahan
demi tohmahan itu. Namun semangat mereka tetap kental dan waja.
Mereka tahu musuh-musuh negara ada di merata tempat. Mereka perlu
diburu dan dinyahkan. Musuh di permukaan bumi mungkin senang dijejaki,
tapi musuh di bawah lautan bukan mudah dicari. Ia bukan dikesan dengan
mata kasar, tapi dengan peralatan canggih, termasuk pantulan sonar.
Perlu diingat kapal-kapal selam musuh dari negara lain sering kali
berlegar-legar di perairan negara, terutama di Kepulauan Spratly, dan
itu perlu ditangani.
Saya yang dibawa masuk ke dalam kapal selam itu boleh merasai betapa
azabnya berkhidmat di situ. Semuanya sempit dan tidak selesa. Sehingga
makanan pun, terdiri daripada makanan khas bagi mengelakkan kapal itu
menjadi berat.
Tempat tidurnya terlalu kecil dan sempit. Dari segi teknikal kapal
itu, semuanya harus dikendalikan secara cukup teliti. Sedikit cuai akan
membawa padah kepada semua anggota, kata Pegawai Pemerintah (CO) KD
Tunku Abdul Rahman, Zahri Mohamed.
Mereka akan berlayar berminggu-minggu sehingga berbulan di dalam perut kapal selam itu.
Menurut blog Askar Setia, sejak tahun 1980-an, TLDM telah berminat
untuk memiliki kapal selam tersendiri bagi meningkatkan keupayaannya.
Bermula dari detik itu, TLDM telah melatih pegawai serta anggotanya bagi
mengikuti kursus dan latihan berkaitan kapal selam termasuk di
Australia dan Pakistan.
TLDM telah bersabar menanti selama 20 tahun untuk memiliki aset strategik terpenting dalam pengoperasian armadanya.
Pada tahun 1998, Kerajaan Malaysia telah meluluskan untuk membeli
kapal selam Scorpene. Pembayaran kapal selam ini dilakukan dengan kaedah
timbal beli. Perancis akan membeli minyak kelapa sawit dan barang
komoditi Malaysia lainnya dengan anggaran AS$580 juta.
Selain mengeluarkan dana sebesar AS$171 juta, Malaysia juga telah
membangunkan pelbagai infrastruktur bagi mendukung pengoperasian kapal
selam di Teluk Sepanggar dan peralihan teknologi kapal selam dari DCNS
kepada TLDM.
Dari segi pengamatan pemerhati pertahanan, perolehan aset ini adalah
untuk mengimbangi kekuatan armada negara-negara jiran dan konflik yang
kian meruncing di perairan negara terutamanya Kepulauan Spratly.
Scorpene merupakan sebuah kapal selam yang unik kerana teknologi yang
digunakan adalah menyamai teknologi yang digunakan pada kapal selam
nuklear jenis Le Triomphant milik Perancis.
Jika diperhatikan, Armada Perancis telah menggunakan kapal selam
kelas Agosta dan Daphne, kedua-duanya merupakan kapal selam konvensional
bertenaga diesel manakala Scorpene menggunakan aplikasi teknologi
terkini dalam semua jenis kelas kapal selam kelas diesel.
Justeru, syarikat DCNS telah mengintegrasikan teknologi kapal selam
bertenaga nuklear kepada kapal selam bertenaga diesel sekali gus
melahirkan Scorpene agar ia lebih efektif dan lebih murah
pengoperasiannya.
Sehingga kini empat buah negara telah membuat perolehan daripada
kapal selam Scorpene. Negara tersebut ialah Chile, Malaysia, India dan
Brazil. Chile membeli dua buah kapal selam pada sekitar tahun 1998/99
dan harga belian mereka ialah AS$250 juta seunit.
Malaysia membeli dua buah kapal selam pada sekitar tahun 2003/04 dan
harga belian sekitar AS$580 juta. India membeli enam buah kapal selam
yang sama pada sekitar tahun 2006, dan harga belian mereka ialah AS$540
juta.
Brazil pula membayar sebanyak AS$220 juta seunit untuk tempahan sebanyak empat buah kapal selam pada tahun 2010.
Jika diperhatikan, harga pembelian Scorpene oleh India dan Brazil
dilihat lebih murah. Ini kerana segala proses pembinaan kapal selam
mereka dilaksanakan di limbungan negara masing-masing. Jika dibandingkan
kapal selam Scorpene dengan negara serantau contohnya Vietnam, mereka
membeli enam buah kapal selam jenis diesel elektrik dengan harga AS$2
bilion dari Rusia.
Kos pembelian Scorpene dilihat lebih mahal tetapi perlu diingat
Vietnam telah berpengalaman dalam mengendalikan kapal selam sebelum ini.
Mereka telah memiliki aset strategik ini pada tahun 1997 apabila
membeli Mini Submarine Salmon Class dari Korea Utara.
Dari situ, asas dalam pengendalian kapal selam, tempat latihan,
kemudahan dan perkhidmatan sokongan telah disediakan. Mereka hanya perlu
membuat penyesuaian untuk kapal selam yang baru.
Ukuran standard kapal selam dari China/Rusia kepada standard kapal
selam dari Eropah juga berbeza yang menyebabkan harganya menjadi lebih
mahal. Apa yang utama ialah kelebihan yang ada pada Scorpene, ia lebih
senyap dan tidak mudah dikesan berbanding kapal selam buatan
China/Rusia.
Sepatunya pembangkang tidak mencari kesalahan ke atas aset-aset
strategik itu. Mereka sepatutnya turut memberi sokongan moral kepada
anak-anak kapal itu yang menyabung nyawa untuk menjaga kedaulatan tanah
air.
Mereka sepatutnya menyokong kerajaan membeli lebih banyak lagi
aset-aset pertahanan negara yang kini semakin tua dan uzur. TUDM
memerlukan pesawat-pesawat tempur dan pengangkut yang baru dan lebih
banyak lagi. Begitu juga aset-aset TLDM dan Tentera Darat. Semuanya
memerlukan sokongan semua pihak, termasuk YB-YB pembangkang.
Ingatlah anda juga ialah pihak yang turut terbabit dalam merangka undang-undang dan meluluskan bajet negara.
Malaysia tidak boleh lagi terus menerus hidup dalam suasana politik
yang sempit. Semua pihak harus menyokong pembangunan negara ini, yang
merangkumi aspek keselamatan dan pertahanannya.
Pengalaman dua hari, dengan layanan cukup hebat daripada pihak TLDM
diketuai oleh panglimanya, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan
Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Pahlawan, Mohamad Rosland
Omar dan kakitangannya akan terus diingati.
Mengenali secara dekat, ternyata Laksamana Aziz cukup hebat dan mesra
orangnya. Lebih teruja, kami terdiri daripada editor-editor kanan media
dan anak-anak buah terbang ke KK bukan menerusi pesawat komersil MAS,
tetapi juga dengan salah satu aset ATM, iaitu pesawat Charlie C-130H
yang sudah berusia.
Penerbangan memakan masa kira-kira tiga jam. Oleh kerana ia pesawat
tentera, bunyinya membingitkan. Namun pesawat pengangkut itu terbang
dengan lancar
Sesungguhnya, kemakmuran dan kesejahteraan yang kita kecapi selama
ini turut disumbangkan oleh angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia.
Pencapaian yang ditunjukkan oleh TLDM sama ada di peringkat negara
mahupun di persada antarabangsa perlu dibanggakan. Kejayaan ini
meletakkan armada laut kita sebagai pasukan marin berprestij setanding
dengan armada laut di negara Barat.
Sejajar dengan cogan katanya Sedia Berkorban pastinya, TLDM akan terus cemerlang sebagai sebuah tentera laut bertaraf dunia.
No comments:
Post a Comment