Monday, 17 June 2013

BMW R 1200 GS

13 Jun 2013
 
BMW R 1200 GS    BMW R 1200 GS

Rekaan terbaru dalam segmen Enduro ini mampu menggugat pesaingnya.
 
PADA tahun 2007, model BMW R 1200 GS merupakan model motosikal paling laris yang pernah dibangunkan oleh BMW Motorrad dengan jualan melebihi 100,000 unit.

Sebagai motosikal pendahulu segmen dan jualan terbaik dalam rangkaian model  BMW Motorrad, BMW R 1200 GS serba baharu kini tiba ke pelabuhan negara. Setakat  ini model GS berkenaan merupakan model ke-9 diperkenalkan oleh BMW Group Malaysia untuk tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Dr Gerhard Pils, konsep ‘BMW GS’ mengutamakan keseronokan menunggang dan keinginan untuk mengembara selama lebih 30 tahun.

“Ahli terbaharu keluarga Motorrad itu bakal menetapkan tanda aras seterusnya dalam segmen enduro jarak jauh dan mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat automotif premium dengan jumlah jualan nombor satu di Malaysia.

“Ciri menarik BMW R 1200 GS serba baharu ialah enjin boxer yang direka semula untuk memberikan prestasi tambahan dengan penyejukan udara/air yang kompak dan merupakan motosikal pertama di dunia yang dilengkapi dengan lampu hadapan LED,” katanya.

Enjin yang Direka Semula Sepenuhnya

Dari segi prestasi, enjin BMW R 1200 GS telah direka semula. Menggunakan enjin boxer dua silinder dengan kotak gear 6-kelajuan,  jentera enduro itu mampu menghasilkan kuasa125 bhp pada 7700 rpm, dan  tork 125Nm pada 6,000rpm.

Walaupun enjin boxer masih menggunakan penyejukan udara/cecair, minyak penyejuk kini diganti dengan campuran air glikol bagi memastikan tahap penyerapan haba yang tinggi untuk penyejukan yang lebih cekap.

Ciri tambahan baharu termasuklah sistem E-gas untuk kawalan dan respons pemanduan yang dipertingkatkan. Arahan penunggang dipindahkan secara terus melalui pengesan pada pemegang pusingan pemecut kepada sistem kawalan enjin yang melaraskan injap pendikit secara elektronik.  

Untuk memenuhi keperluan serta tujuan individu setiap penunggang, buat pertama kalinya BMW R 1200 GS serba baharu dilengkapi dengan lima mod tunggangan yang berbeza - ‘Rain’, ‘Road’, ‘Dynamic’, ‘Enduro’ dan ‘Enduro Pro’. Setiap mod menampilkan tiga tetapan E-gas dan ABS yang berbeza, dan empat tetapan ACS dengan ciri enjin yang berlainan. 

Untuk memilih tetapan yang diperlukan, suis “mod” di sebelah kanan bar pemegang akan mengaktifkan paparan pada panel instrumen untuk memilih mod tunggangan yang dikehendaki.

Sebagai contoh mod 'Rain' memberikan ciri lembut dan responsif bagi menyokong penunggang pada permukaan basah atau cengkaman yang sukar.

Sementara mod ‘Enduro Pro’ memberikan respons enjin yang spontan, kerana fungsi ASC ditetapkan pada mod profesional bagi membolehkan kawalan yang lebih mantap untuk enjin BMW R 1200 GS serba baharu.

Fungsi dan Kelasakan

Bahagian hadapan motosikal yang bergaya direka untuk menyertakan sekali pembawa panel depan tiga seksyen yang inovatif diperbuat daripada magnesium, komponen yang tahan pecah dan lasak yang memberikan BMW R 1200 GS serba baharu pengurangan berat sebanyak 60 peratus.

Malah, pertama kalinya, dimensi tayar hadapan diperbesarkan kepada 3 inci dan belakang kepada 4 hingga 4.5 inci untuk mendapatkan daya membelok dan kuasa berhenti yang lebih cekap serta cengkaman dan dinamik pemanduan yang lebih baik.

Untuk tahap keselamatan dan prestasi maksimum, BMW R 1200 GS serba baharu dilengkapi dengan Dynamic ESA, sistem suspensi separa aktif yang mengawasi pergerakan menegak kawalan roda depan dan belakang dengan pengesan pergerakan spring pada setiap kedudukan.

Pengesan ini mengikuti tindakan penyerap hentakan secara automatik bergantung kepada keadaan dan pergerakan pemanduan, manakala Dynamic ESA turut memberi respons kepada pergerakan brek kawalan ABS dengan melaraskan topang spring pada bahagian depan dan belakang menggunakan injap pengawalan elektronik.

Bagi memenuhi prinsip ‘Safety 360’ BMW Motorrad,  BMW R 1200 GS serba baharu dipasang dengan ABS sebagai ciri standard, dan sistem breknya diubah dengan angkup Brembo Monobloc yang dipasang secara radial di depan dan cakera brek yang lebih besar di belakang.

Para pelanggan boleh memilih konsep warna baru yang hebat untuk ciri sporty BMW R 1200 GS serba baharu dengan empat pilihan  harga runcit RM 128,800 bagi Pakej Dinamik dan Pakej Touring pada harga RM 125,000.

Pakej Dinamik didatangkan dengan lampu LED sebagai ciri standard manakala lampu perjalanan waktu siang turut dipasang standard bagi kedua-dua pakej.

--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version