FILEM Superman bukanlah asing lagi dalam sejarah perfileman. Biarpun cerita ini telah bermula lama dahulu, namun masih ada generasi muda kini yang mengenali siapa itu Superman.

Terbaru, Chris Nolan selaku penerbit bersama Zack Snyder  berganding bahu bersama-sama menghasilkan sebuah filem ‘reboot’ daripada siri-siri filem Superman.

Filem kali ini dibarisi oleh pelakon seperti Henry Cavill (Clark Kent/Superman/Kal-El), Amy Adams (Lois Lane), Michael Shannon (General Zod), Kevin Costner (Jonathan Kent), Diane Lane (Martha Kent), Laurence Fishburne (Perry White), Russel Crowe (Jor-El) dan Antje Traue (Faora).

Tentunya bagi yang mengenali cara garapan Snyder yang sebelum ini mengarahkan Sucker Punch (2011) dan 300 (2006) pasti memahami bagaimana bentuk jalan cerita filem ini diolah.

Jalan cerita Man Of Steel dihiasi dengan Clark Kent/Kal-El dalam mencari misi siapakah dirinya yang sebenar dan punca dia ‘dicampakkan’ ke bumi.

Namun Man Of Steel lari jauh dari tipikal filem superhero kerana ia memaparkan kisah peribadi Clack Kent.

Kisah hidup Clack Kent pula diiringi dengan emosi dan juga kisah hidup yang sebenarnya dalam bercerita tentang sisi dirinya. Snyder menghimpunkan kisah Kent dalam siri imbas semula dari masa ke semasa.

Emosi yang dimainkan juga akan membuatkan penonton akan melahirkan rasa simpati terhadap hidup Kent.

Tentunya, sejam pertama perjalanan filem ini dipenuhi dengan drama dan cerita-cerita yang tentunya dari idea Nolan seperti garapannya dalam filem Batman.

Ia tentu sekali tidak meninggalkan kesan besar kepada penonton dan membuatkan penonton sentiasa ternanti-nanti.

Kisah tipikal

Namun, dalam usaha mencari dirinya yang sebenar, dia perlu juga berdepan dengan musuh, General Zod yang mahu menakluki bumi.

Bagaimanapun, tidak keterlaluan penulis katakan, Man Of Steel adalah sebuah filem tipikal Hollywood yang masih memaparkan kisah makhluk asing yang mahu menakluki bumi.

Hanya bezanya di sini ialah, sejauh mana kemusnahan sesuatu tempat itu dapat ditunjukkan dalam sesebuah filem dan itulah yang berlaku dalam Man Of Steel.

Aksi tanpa henti

Bagaimanapun, aksi tanpa henti dalam satu jam 20 minit terakhir membuatkan ‘kebosanan’ sejam pertama tadi terasa berbayar.

Bayangkan hanya dengan kehadiran dua musuh, banyak kemusnahan berlaku berbanding dengan kehadiran ramai musuh dalam filem-filem Hollywood sebelum ini.

Malah kemusnahan yang berlaku dalam Man Of Steel lebih dahsyat dari kemusnahan yang berlaku dalam filem Transfomer 3 mahu pun Ironman 3.

Ada ketikanya juga, beberapa babak pertarungan dan kemusnahan dalam filem ini kelihatan tidak logik, namun jika anda menonton dari sudut hiburan semata-mata, maka tidak ada apa-apa yang perlu difikirkan.

Keindahan sinematografi

Seperti biasa, Man Of Steel juga adalah sebuah filem sains fiksyen yang akan mengingatkan penonton kepada beberapa filem sains fiksyen lain seperti Prometheus.

Namun, keistimewaan filem ini adalah kecantikan sinematografi dari awal sehingga akhir.

Snyder juga berjaya memaparkan sudut kamera yang cantik dari segi babak aksi dan memberikan kepuasan tersendiri kepada penonton.

Kekeliruan Clark Hent

Man Of Steel mengisahkan Clark Kent/Kal-El (Henry Cavill) ialah seorang wartawan berumur 20-an yang keseorangan kerana kuasa luar biasanya.

Dulu, dia dihantar ke bumi dari Krypton, sebuah planet yang berteknologi tinggi dan jauh dari bumi.

Clark bergelut dengan soalan mutlak: “Kenapa dia di sini?” Dia dibentuk dari nilai yang diajar ibu bapa angkatnya, Martha (Diana Lane) dan Jonathan Kent (Kevin Costner).

Clark mengetahui kuasa luar biasanya akan memaksanya membuat keputusan yang sukar. Apabila dunia memerlukan kestabilan, ancaman yang lebih bahaya muncul.

Clark mesti menjadi Man Of Steel untuk melindungi orang yang disukai dan bersinar sebagai simbol harapan, Superman.


- SINAR HARIAN