DIMANFAATKAN daripada input jentera perlumbaan MotoGP - RC211V, CBR600RR bukan sahaja mentakrifkan semula parameter prestasi atas jalan dengan fleksibiliti, tetapi juga dengan peningkatan enjin berkuasa tinggi dan pengendalian yang tepat.

Honda CBR600RR adalah jentera sport 599cc yang diperkenalkan oleh Honda pada 2003 sebagai versi replika perlumbaan bagi siri motosikal Honda CBRFx.

Untuk rekod jentera Honda itu telah memenangi Kejohanan Dunia FIM Supersports dari 2003 hingga 2008 bagi tempoh enam tahun berturut-turut.

Pada 2010, Honda turut menjadi pembekal rasmi enjin untuk kelas Moto2 melalui jentera berkuasa berasaskan CBR600RR. Ia sekali lagi membuktikan potensi dan kebolehpercayaan jentera tersebut.

Peningkatan yang berterusan dekad lalu telah menyaksikan evolusi CBR600RR menjadi satu daripada jentera paling cemerlang  pernah dihasilkan di gelanggang Supersports.

Tumpuan diletakkan ke atas casis, dengan tujuan mencipta sebuah motosikal yang menawarkan kawalan dan pengendalian yang jauh mengatasi kelasnya.

Penggunaan fork jenis Showa Big Piston 41 milimeter (mm) CBR600RR memastikan perjalanan yang  lancar di atas jalan. Pada masa sama menawarkan hubungan tayar hadapan dalam keadaan yang terhad semasa di trek lumba.

Bahkan menggunakan roda aluminium tuangan ringan, 12 jejari  sama dengan CBR1000RR Fireblade juga memberikan  tindak balas lebih baik.

Jentera bersesaran 599cc ini menggunakan penyejukan cecair DOHC 16 injap empat silinder sebaris yang menampilkan nisbah mampatan 12:2:1. Ia mampu menghasilkan kuasa 88kW pada 13,500rpm dan tork 66Nm pada 11,250rpm.

Enjin 599cc empat silinder dengan sistem suntikan bahan api PGM-DSFI yang canggih dibekalkan daripada kemasukan udara berkapasiti besar melalui Sistem Induksi Udara Terus .

Menggunakan ECU (Unit Kawalan Elektronik) yang dipetakan semula meningkatkan lagi tindak balas pendikit sepanjang julat putaran. Injap Kawalan Pengambilan Udara kini juga berfungsi sepanjang julat rpm. Kesemua peningkatan tersebut menjadikan motosikal ini lebih mudah ditunggang semasa kelajuan biasa dengan peningkatan prestasi seperti dalam keadaan di trek perlumbaan.
Suspensi belakang Unit Pro-Link CBR600RR tidak menggunakan pelekap kejutan atas pada bingkai motosikal dan ini adalah satu sistem unik Honda.

Pelekap kejutan pada bahagian atas ‘swingarm’ dan pepaut bawah beroperasi dengan pergerakan bebas ‘swingarm’. Ini mengukuhkan lagi keadaan pembelokan kuat dan menyampaikan kuasa tarikan dan kebolehan berpusing, ditambah dengan penyerapan kejutan lebih baik dan redaman lebih konsisten.

Tersedia dengan tiga warna, tanda harga jentera itu  adalah RM80,588 bagi Tricolour (merah, putih dan biru) , Hitam Grafit (RM81,088) dan warna Repsol (RM82,088).
CBR600RR C -ABS :Persis jentera lumba

Dua faktor utama yang mendorong kepada pembinaan CBR600RR C-ABS baharu ialah prestasi trek lumba yang lebih baik, digabungkan dengan keupayaan menunggang di jalan berliku atau jalan raya bandar bagi semua peringkat pengalaman penunggang.

Penggunaan fork jenis Showa Big Piston 41mm memastikan setiap perjalanan yang amat lancar di atas jalan, sementara menawarkan hubungan yang hebat bagi tayar hadapan apabila di trek lumba. Roda aluminium tuangan ringan12 jejari juga digunakan untuk tindak balas yang lebih baik.

Dari segi spesifikasi enjin bagi varian CBR600RR C-ABS adalah sama dengan CBR600RR. Cuma perbezaan bagi varian ini ia hanya dilengkapi dengan sistem ABS (sistem brek anti kunci).

Untuk rekod, pada Jun 2008, Honda mengumumkan julung kali “Gabungan ABS elektronik” untuk motosikal-motosikal pengeluaran pertama di dunia.

Sistem baru ini tersedia untuk kedua-dua CBR600RR and CBR1000RR Fireblade pada 2009.

Ia berfungsi apabila sensor pada bahagian tuil brek mengesan kekuatan tarikan untuk memberhentikan jentera.

Sensor akan menghantar maklumat pada ECU dan ECU akan menentukan tekanan yang sesuai untuk diaplikasi pada angkup brek. ECU juga memastikan tayar tidak terkunci apabila proses ini berjalan.
Dadakan brek juga dilenyapkan. Secara keseluruhan, prestasi penunggangan perlumbaan tidak terjejas, keupayaan membelok kekal seperti biasa dan kawalan juga ditingkatkan.

Melalui input berterusan daripada program perlumbaan Honda, bingkai CBR600RR dibina dari tiub-tiub berkembar tuangan aluminium. Proses jisim pemusatan bagi model baru ini telah menghasilkan seksyen-seksyen yang jauh sekali dari pusat graviti motosikal menjadi lebih ringan.

Ini mengakibatkan pengendalian yang lebih tangkas dan sambutan lebih tajam serta kebolehan berpusing dan membelok kepada tahap yang tinggi.

‘Rake’ ditetapkan pada 23 darjah dengan rintisan 96.3mm; jarak roda ialah 1375mm dan berat badan ialah 196 kilogram (dengan Gabungan ABS elektronik).

CBR600RR C-ABS juga disediakan dalam tiga warna: Tricolour (merah, putih dan biru) berharga RM94,888, Hitam Grafit (RM94,388) dan warna Repsol (RM95,388).

Kedua-dua model Honda - CBR600RR dan CBR600RR C-ABS didatangkan dengan waranti pengilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana hadir dahulu).

--- SINAR HARIAN