Monday, 4 November 2013

CB500R hangatkan pasaran


Nik N Hidayat
31 Oktober 2013

Posisi badan yang menegak ketika menunggang cukup selesa untuk perjalanan jauh.    Posisi badan yang menegak ketika menunggang cukup selesa untuk perjalanan jauh.


SETELAH sekian lama jentera berkapasiti 500cc tidak lagi popular, kebanyakan pengeluar motosikal lebih berminat untuk membangunkan produk dengan kapasiti enjin lebih besar daripada angka itu.


Hal itu mungkin berlaku impak daripada kategori 500cc di Grand Prix (MotoGP) berakhir pada tahun 2001 dan digantikan dengan kategori 990cc.

Sejak kebelakangan ini, Honda cukup agresif dalam pasaran jentera dua roda. Selepas melancarkan trio 500cc tempoh hari, saya berpendapat Honda cukup bijak dalam menarik perhatian peminat-peminat motosikal dengan penawaran motosikal berkuasa pertengahan dan harga yang mampu milik.

Sudah pasti Honda tidak begitu ambil peduli dengan pengguna motosikal berkuasa tinggi sedia ada, tetapi lebih menumpukan kepada bakal-bakal penunggang motosikal yang sentiasa bercita-cita untuk memiliki motosikal berkuasa tinggi. 

CB500 pada asalnya merupakan motosikal naked yang pernah dihasilkan pada 1993 sehingga tahun 2003. Namun, produksinya terpaksa dihentikan akibat daripada prestasi enjin yang tidak dapat memenuhi aspek polisi kadar pelepasan Euro 2.

Ketiga-tiga CB500 (CBR, CBF dan CBX) berkongsi enjin yang sama dan platform. Antara ketiga-tiga motosikal CB500, saya berpeluang menguji model fairing penuh CB500R dahulu.

Model R memperlihatkan ciri motosikal sportbike. Reka bentuk lampu utama hadapan cantik dan ia dibuat seakan-akan model Fireblade 1000cc. Kombinasi warna motosikal yang diserahkan untuk sesi tunggang uji kali ini membawa semangat Honda Racing Corporation (HRC).

Apabila saya melabuhkan punggung ke atas pelana motosikal dan mencapai bar pemegang, ia tidak terlalu rendah. Kedudukan bar pemegang lebih tinggi daripada motosikal supersports. Honda mungkin lebih mengutamakan gaya tunggangan lebih santai pada model CB500R ini.

Mengendalikan CB500R cukup mudah, lebih-lebih lagi ia ringan dan kedudukan tunggangan pula tidak terlampau stres. Jika dibandingkan, ia hampir sama dengan mengendalikan mana-mana jentera 250cc.

Kuasa motosikal ini bergantung kepada enjin dua silinder selari 471cc baru yang mempunyai kuasa 35 kW (47 kuasa kuda) dengan jumlah tork sebanyak 43Nm. Daripada segi prestasi enjin, ia cukup stabil dalam menyampaikan kuasa pada setiap julat rpm. Penghantaran
kuasa sempurna dan lancar pada setiap perubahan transmisi enam kelajuan.

Selepas melakukan ujian ringkas di jalan-jalan bandar, saya dapati fork 41 milimeter (mm ) dan sistem penyerap hentak bahagian belakang lebih sesuai digunakan untuk kawasan bandar dan lebuh raya berbanding untuk kegunaan sports ekstrem.

Melalui lebuh raya ke arah utara dalam keadaan cuaca hujan, saya menunggang dengan kelajuan konsisten di antara 100 – 120 kilometer sejam (km/j). Keadaan kurang meyakinkan apabila terasa gelinciran berlaku. Ia disebabkan penggunaan tayar yang kurang cengkaman dalam keadaan licin. Kelajuan maksimum yang saya peroleh adalah pada 184 km/j.

Cakera tunggal 320mm dan kaliper omboh berkembar Nissin dengan cakera 240mm kaliper belakang omboh tunggal berfungsi dengan baik dalam mengendalikan tugasan brek. Prestasi daya hentian yang dilengkapi dengan sistem ABS ini berkesan walaupun tidak menggunakan cakera brek berkembar pada bahagian hadapan.

Susun atur panel instrumen yang mengandungi takometer dan meter kelajuan digital mudah untuk dibaca. Ia lebih menyerupai panel meter jentera supersport 600RR berbanding motosikal bajet 250R.

Konsep motosikal CB500R lebih menitikberatkan faktor ekonomi termasuk isu kos pemilikan, penggunaan bahan api dan kos penyelenggaraan. Pengeluaran di negara jiran, Thailand sedikit sebanyak membantu untuk penawaran harga yang kompetitif.

Secara peribadi, saya boleh katakan model ini sesuai untuk dijadikan sebagai kenderaan kegunaan harian. CBR500R juga sesuai buat penunggang yang baru berjinak-jinak dengan hobi motosikal berkuasa tinggi lebih-lebih lagi golongan wanita.

--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version