Tuesday, 3 March 2015

Mungkinkah Iriz Mampu Melonjakkan Semula Nama Proton?


Barisan Proton Iriz dalam perjalanan dari Miri ke Kota Kinablau Foto Bernama Oleh Mohd Khairi Idham Amran

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Ketika sesi uji pandu untuk media di Borneo baru-baru ini, kereta kompak itu meluncur dengan begitu selesa, bermula dari Miri di Sarawak menuju ke Brunei dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah.

Kereta yang dipandu ternyata begitu stabil meskipun di selekoh tajam dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan jalan yang tidak sempurna apatah lagi bila melalui jalan lurus.

Model kereta Proton yang penulis maksudkan ialah Proton Iriz yang setakat ini mencatat 17,000 tempahan sejak dilancarkan September 2014 dengan hampir 10,000 unit kini berada atas jalan raya.

Mungkinkah kereta ini usaha terbaik Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. untuk memulihkan semula bisnes syarikat itu yang dilaporkan telah menurun? Atau ia juga tidak akan mendapat tempat di hati rakyat Malaysia?

KEISTIMEWAAN IRIZ

Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, Proton telah mengkaji semula strategi syarikat untuk membolehkannya menempatkan diri sebagai sebuah daripada syarikat pengeluar kereta yang berdaya saing dalam pasaran automotif.

Langkah ini dilihat perlu untuk mengubah imej syarikat yang sebelum ini sering dikaitkan sebagai pengeluar kereta yang tidak berkualiti dengan ciri-ciri yang tidak menarik.

Dengan kemunculan Iriz yang memaparkan kualiti serta ciri terkini, kereta ini membuktikan Proton berada pada tahap kematangannya.

Siapa yang boleh menjangkakan kereta Proton dilengkapi dengan enjin 'Variable Valve Timing' (VVT), kotak gear CVT, kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem brek antikunci (ABS), kawalan 'traction' dan kawalan casis.

Semuanya ini adalah ciri utama yang menjadikan Iriz mendahului pesaing-pesaingnya.

Ketua pereka bentuk, Azlan Othman memberitahu Bernama, Iriz adalah hasil usaha pembangunan selama empat tahun sejak kereta itu dipamerkan di Geneva Motorshow pada tahun 2010.

Iriz juga kereta bahagian-B pertama untuk syarikat pengeluar kereta nasional itu yang selama ini kepakarannya adalah untuk kereta bahagian-C dan sedikit bahagian-D (Proton Perdana) serta SUV (Proton Exora).

TAMPAK KELEBIHAN

Iriz juga bersaing dengan Myvi, keluaran syarikat kereta nasional kedua Malaysia, Perodua tetapi senarai ciri serta kecekapan bahan bakar memberikan kelebihan kepada Iriz.

Menurut Tengku Azizan Tengku Ahmad, Pengurus Besar bahagian kejuruteraan Proton, enjin VVT dan transmisi CVT menyumbang kepada kecekapan bahan bakar Iriz.

Sewaktu uji pandu media, kereta Iriz 1.6 liter yang digunakan mencatat penggunaan bahan bakar paling rendah iaitu 4.9 liter untuk 100 kilometer sementara penggunaan bahan bakar paling rendah untuk model 1.3 liter manual ialah 5.2 liter untuk 100 kilometer.

PERLU LEBIH BANYAK PENINGKATAN

Meskipun Iriz mungkin telah membuka satu lembaran baru untuk Proton, masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk meningkatkan pencapaian syarikat kereta nasional ini.

Mungkin teknologi bukan sangat masalah untuk bersaing dengan syarikat pengeluar kereta yang lain, tetapi Proton perlu memberi perhatian kepada ekonomi skala untuk terus maju.

Ini bermakna Proton perlu mengembangkan sayapnya ke pasaran eksport di mana ia perlu bersaing dengan syarikat pengeluar kereta yang sudah lama bertapak dalam industri automotif.

Proton dikatakan sedang meninjau teknologi baru seperti sistem bantuan pemanduan maju (ADAS), malahan mahu membangunkan enjin diesel apabila lima diesel Euro diperkenalkan di Malaysia.

Bagaimanapun, buat masa ini, Iriz mungkin menjadi penyelamat untuk Proton dan sebagai tanda aras untuk kenderaan yang bakal dikeluarkan oleh syarikat ini pada masa hadapan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version