Monday, 16 November 2015

Yamaha MT-07 Versi CKD lebih murah

SELEPAS pengenalan MT-07 pada Malaysian MotoGP tahun lalu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) kini mengumumkan pengeluaran versi pemasangan dalam negara (CKD).

Justeru itu, Yamaha MT-07 kini menjadi model yang ketiga dipasang di kilang utama HLYM di Sungai Buloh selepas siri XJ (XJ6, XJ6 Diversion, XJ6 Diversion F) dan model street-naked tiga silinder, MT-09.

Secara tidak langsung, versi MT-07 CKD baharu dijual pada harga yang lebih murah iaitu pada RM35,296 (termasuk 6% GST, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan nombor plat) berbanding model import sepenuhnya (CBU) yang dijual pada RM42,000 sebelum ini.

Jentera street-naked tersebut dikuasakan dengan enjin empat lejang yang mempunyai sesaran 689cc silinder berkembar sebaris sejukan cecair dengan sistem suntikan bahan api. Pengenalan Yamaha MT-07 sekaligus melengkapkan barisan motosikal berkuasa tinggi yang ditawarkan HLYM dalam pasaran tempatan.  

Model street-naked kuasa pertengahan serba boleh ini mampu menawarkan daya tunggangan dalam kelas prestasi yang tersendiri. Dengan memiliki angka tork tinggi yang dihasilkan enjin kompak di tengah-tengah casis menawarkan keseronokan tunggangan dan dalam masa yang sama menjamin kecekapan penggunaan bahan api.

Enjin kepada jentera ini merupakan enjin yang menggunakan pendekatan teknologi unik dari  Yamaha di mana mereka menggunakan enjin silinder berkembar selari dengan pengadaptasian falsafah Crossplane Yamaha seperti yang pernah digunakan kepada model supersport YZF-R1.

Teknologi Crossplane yang digunakan adalah untuk menghasilkan tork enjin yang lebih linear, penghantaran kuasa yang lebih teratur dan penghasilan daya pecutan yang lebih cemerlang.

Mengikut data di atas kertas, MT-07 mempunyai kuasa maksimum sebanyak 74 kuasa kuda pada 9,000 rpm dengan jumlah tork maksimum setinggi 68Nm pada 6,500 rpm. Prestasi enjin dijanjikan untuk lebih fleksibel dan menawarkan anjakan tork yang lebih progresif pada kitaran enjin rendah sehingga ke julat pertengahan.

Kuasa enjin dipindahkan melalui transmisi enam kelajuan melalui klac basah cakera berganda. Yamaha MT-07 menggunakan casis padat, kukuh dan direka lebih ringan untuk mengoptimumkan tahap prestasi pengendalian dan ketangkasan yang luar biasa.

Daya penghentian pula diserahkan kepada sistem brek cakera berkembar hidraulik di bahagian hadapan dan cakera tunggal hidraulik di bahagian belakang. Walaupun tidak memiliki sistem ABS, jentera ini mudah dikawal ketika brek mengejut atau kecemasan.

Panel instrumen digital kompak yang disediakan memaparkan beberapa maklumat asas seperti indikator kedudukan gear, tolok bahan api, takometer dan jam.

Dengan berat keseluruhan 179 kilogram (kg), ia menawarkan ketinggian tempat duduk yang lebih rendah dan cukup sesuai untuk penunggang bersaiz Asia.

Sebelum ini, versi CBU didatangkan dalam dua pilihan warna sahaja iaitu Red Racing dan Race Blu. Kini versi CKD boleh di dapati dalam dua pilihan warna baharu iaitu Armor Deep (Violet) dan Extreme Yellow (kuning). Yamaha MT-07 versi CKD boleh didapati di seluruh pengedar rasmi jenama Yamaha terpilih di seluruh negara.

--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version