Monday, 16 November 2015

Honda HR-V

HR-V serlah sentuhan maskulin

Sebanyak 10 HR-V 1.8L disediakan, manakala tiga wakil media mengambil tempat dalam sebuah jentera untuk menguji secara bergilir-gilir model varian tertinggi tersedia itu.

Sedia maklum terdapat tiga gred bagi HR-V baharu iaitu bermula dari S, E dan V. Jujur, pertama kali HR-V dilancarkan di negara ini Februari lalu penulis sudah tertarik dengan penampilannya.

Setiap sisinya diolah rupa aerodinamik menawan. Gabungan gaya sporty sebuah MPV ditambah lekuk rugged sebuah coupe, dapat dilihat pada SUV agak menggoda ini.

Hadapannya dengan gril krom bentuk sayap menyerlahkan sentuhan maskulin. Lampu utama dan lampu siang hari dengan LED bukan sahaja menambah gaya dan menyerlahkan kelibatnya di siang hari, malah menambahkan pencahayaan pada waktu malam.

Lampu combi dilengkapi LED di bahagian belakang juga membantu meningkatkan penglihatan pemandu lain di belakang.

Rim aloi bersaiz 16 inci bagi semua variannya tampak bergaya dan sporty.

Agak menarik pemegang pintu penumpang belakang terletak di hujung cermin tingkap. Kelihatan tersorok hingga ramai menyangka ia hanya ada dua pintu.

Ternyata taktik 'perletakkan' itu pada jentera crossover ini 'kena gaya' untuk terlihat rupa coupe.

Pada penulis, paras luaran adik kepada Honda CR-V ini memang tidak kurang bergaya.

Hari pertama tiba di pulau pelancongan itu, penulis mengambil kesempatan berada di tempat duduk belakang jentera menawarkan sistem kemasukan tanpa kunci ini. Manakala dua lagi rakan media di tempat pemandu dan penumpang bersebelahan.

Dalam perjalanan dari lokasi tiba hingga ke resort penginapan kami sejauh kira-kira 20 kilometer (km) atau lebih kurang 25 minit itu, penulis mengamati tiap sudut dan ruang ada.

Kabin nampak premium dengan warna gelap menguasai ruang. Upholsteri mendapat kombinasi fabrik dan kulit. Tombol gear dan stereng pula dibaluti kulit sepenuhnya.

Kemasan krom pada pembuka pintu, corong pendingin hawa dan skrin sistem audio menambah gaya.

Rakan di tempat duduk pemandu mengambil kedudukan menyelaras ketinggian tempat duduk secara manual.

Perincian dan kekemasan ditawarkan memuaskan. Papan pemuka dan tepi pintu dengan kemasan plastik lembut. Stereng dilengkapi butang kawalan termasuk untuk telefon bebas tangan (HFT) bagi memudahkan pemandu.

Penulis gemarkan bunyi muzik tekno dari CD dipasang rakan yang keluar dari enam pembesar suara.

Pendingin hawa memanjang dengan tiga bolong udara di tempat duduk bersebelahan pemandu. Nyaman menikmati pendingin hawa single auto bagi penumpang di hadapan.

Namun kedudukan penulis di tempat duduk belakang dalam keadaan matahari tegak di kepala, masih terasa bahangnya di bahagian ini. Ambil sedikit masa sebelum penulis dapat menikmati pengudaraan memuaskan dalam cuaca terik pada tengah hari itu.

Apa pun panel sesentuh unit pendingin hawa memudahkan pemandu.

Ruang kaki di tempat duduk belakang juga selesa bagi penulis berketinggian 160 sentimeter.

Lain pula bagi dua rakan di tempat duduk hadapan yang kedua-dua lebih tinggi 10 cm daripada penulis. Lutut nampak rapat pada bahagian bawah papan pemuka.

Manakala seorang rakan yang susuknya memakai baju bersaiz XL, nampak 'sesak' di ruang penumpang hadapan.

Mungkin dek keadaan konsol tengah yang kelihatan agak gabak.

Namun ruang kepala selesa bagi penumpang dalam kabin.


Pemanduan hari kedua

Pemanduan pada hari kedua lebih menguji HR-V. Pagi dimulakan dengan sesi 'Perbandingan Dengan Kereta Pesaing' di Kompleks Sukan Langkawi. HR-V dengan empat lagi model seumpama dalam kelasnya diperbandingkan.

Perbezaan fizikal diperlihatkan dari segi dimensi, enjin, brek, ciri dalaman dan luaran, ruang ditawarkan dan sistem keselamatan. Turut diperbandingkan tawaran harga dan khidmat selepas jualan bagi kelima-lima model jentera.

Ternyata biarpun harga HR-V lebih rendah berbanding tiga model lain (hanya lebih dalam 1K dengan jentera 1.8L jenama Jepun), namun ciri ditawarkan menyamai, malah ada yang lebih baik.

Kelebihan ditawarkannya dapat dilihat pada ciri keselamatan, dengan enam beg udara disamping lima tahun waranti dengan tanpa had perjalanan - selain bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isofix, selain ABS dan EBD.

Ruang kargo HR-V seluas 437 liter juga boleh tahan besar, jika dibandingkan dengan tiga lagi model lain.

HR-V turut disertakan teknologi lebih terkini termasuk dengan adanya Brek Parkir Elektrik dan Auto Brake Hold. Hanya guna hujung jari tanpa cara konvensional dengan brek tangan. 

Pada kali ini penulis berkesempatan memacunya. Selesa berada di tempat duduk pemandu. Penglihatan ke luar cermin hadapan juga tampak luas.

Pertama memandu, hanya dengan sedikit tekanan pada pedal pendikit sudah terasa kuasa responsif bagi menggerakkan jentera. Bagi feminin seperti penulis, mudah memandunya malah ia terasa tangkas mengikut kawalan stereng ketika melalui kawasan berliku.

Rasa yakin memacunya biarpun di selekoh tajam kawasan pulau. Tidak terasa olengan badan semasa memandu jika dibandingkan duduk di tempat duduk belakang pada hari sebelumnya di mana pada pemanduan kira-kira lebih 100 km/j di selekoh agak tajam, tubuh penulis turut sama rasa 'terayun'.

Melalui jalan tidak bertar tepi laut Pantai Tengkorak, daya serap hentaknya memuaskan. Ia juga dibuktikan semasa sesi pandu uji di Kompleks Sukan Langkawi. Namun tidak dinafikan, semasa penulis di tempat duduk belakang, rasa agak melenting tapi masih di tahap minimum.   

Pandu uji di laluan berhalangan di situ juga membolehkan rakan media menguji tahap bunyi masuk ke kabin. Bagi penulis ia masih jelas kedengaran, namun tidaklah sampai mengganggu konsentrasi pemanduan.

Penulis tidak berkesempatan mengikuti pandu uji media bagi HR-V sebelum ini yang diadakan di negara jiran, baru-baru ini.

Jadi tidak puas memacu HR-V ini dalam tempoh singkat dua hari dalam keadaan terpaksa berkongsi sama dengan dua lagi rakan media. Walaupun HMSB memberi opsyen melanjutkan sesi selama tiga hari, penulis terpaksa memilih dua hari disebabkan kekangan masa dengan tugasan harian.

Apa pun penulis berpuas hati dengan prestasi HR-V. Bagi yang merasa Jazz terlalu comel, CR-V pula gedang atau rupa Civic agak 'statik', mungkin HR-V ini boleh jadi pilihan ideal.

--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version