Monday, 5 December 2016

Honda BR-V tembusi pasaran

SELEPAS memperkenalkan Honda CR-V (Comfortable Runabout Vehicle), HR-V Hip Runabout Vehicle, Honda Malaysia bakal memperkenalkan model baharu yang diberi nama BR-V (Bold Runabout Vehicle) awal tahun depan.

Malaysia merupakan negara kelima selepas Indonesia, Thailand, India dan Filipina yang menyaksikan permintaan sangat menggalakkan dalam kalangan pengguna negara tersebut.

Secara asasnya Honda BR-V ini direka untuk mereka yang mahukan sesuatu sporty, keselesaan dengan tujuh penumpang serta ruang letak barang yang luas.


PERJALANAN LANCAR

Penulis bersama rakan media lain yang dipelawa Honda Malaysia memandu uji BR-V di Bangkok baru-baru ini menggunakan sepenuhnya peluang bagi mengetahui dengan lebih dekat prestasi dan potensi jentera terbabit.

Tiba di Lapangan Terbang Don Mueang Bangkok (DMK), rombongan media disambut mesra pegawai Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) yang terdiri dari Jordhatt, Iris Leong dan Sumithra yang akan bersama menyertai sesi pandu uji selama dua hari di Bangkok dan sekitarnya.

Perjalanan dari Lapangan Terbang DMK menuju hotel penginapan Eastin Grand Sathrom mengambil masa kira-kira 45 minit itu memberi pengalaman pertama buat penulis apabila melihat sendiri kesesakan lalu-lintas dua kali ganda berbanding Malaysia.

Tiba di hotel penginapan, rombongan media diberikan masa satu jam untuk mempersiapkan diri bagi sesi pemanduan ringkas Honda BR-V yang telah dirancang HMSB.


MULA PAMER KUASA

Sporty dan memiliki tarikan tersendiri, itulah tanggapan pertama penulis apabila melihat Honda BR-V yang diletakkan di ruang legar hotel. Tanpa membuang masa penulis bersama dua rakan media terus memilih BR-V enjin 1.5 Liter i-VTEC transmisi CVT.

Sebut sahaja Bangkok pastinya gambaran kesesakan lalu-lintas bermain di fikiran dan inilah dirasai penulis apabila menjadi pemandu pertama menuju ke Villa De Bear ketika dua rakan lain menikmati BR-V sebagai penumpang di sebelah pemandu dan belakang. Pasti seronok bukan.

Jarak perjalanan menuju Villa De Bear hanya dianggarkan 10 kilometer (km), namun seperti penulis maklumkan pada awalnya kesesakan lalu-lintas menyebabkan jangka masa diambil konvoi media hampir 45 minit.

Di sini potensi Honda BR-V telah mula diuji khususnya kuasa pecutan selepas kerap kali menekan brek, tidak perlu terlalu agresif menekan pedal untuk mendapat kelajuan di antara 50 hingga 80 kilometer sejam (km/j).

Pilihan penulis untuk menjadi pemandu pertama sememangnya tepat apabila derita kesesakan lalu lintas menjadi milik rakan media yang memandu BR-V pulang ke hotel tatkala jam di tangan menunjukkan 5 petang waktu tempatan yang merupakan waktu puncak. Okeylah sikit-sikit kita kongsi pengalaman kesesakan lalu-lintas, betul tak?


PEMANDUAN BERMULA

Sebenarnya hari kedua merupakan sesi pandu uji yang betul-betul menguji kemampuan Honda BR-V menuju Pasaya Factory Outlet di wilayah Ratchaburi dengan jarak keseluruhan perjalanan melebihi 200 km.

Sebelum memulakan perjalanan, media diberikan taklimat oleh HMSB mengenai Honda BR-V laluan yang bakal ditempuhi serta panduan pemanduan di negara Gajah Putih ini.

Tepat jam 10 pagi waktu tempatan, konvoi media mula bergerak dari hotel menuju lokasi di wilayah Ratchaburi dan kali ini rakan media mengambil tugas selaku pemandu pertama dengan penulis di tempat duduk depan manakala media ketiga selaku penumpang bahagian belakang.


SERBA LENGKAP

Duduk sebagai penumpang dimanfaatkan sepenuhnya penulis untuk membelek dan menyelongkar bahagian dalam Honda BR-V.

Ruang dalaman BR-V nampak moden, beberapa komponen BR-V lebih kurang sama dengan Honda City mahu pun Jazz tetapi ia tetap memiliki tarikan dari segi keselesaan dan keselamatan.

Dari segi sistem audio, Honda BR-V dipadankan dengan sambungan USB pada skrin audio itu sendiri. Kawalan suara boleh dilakukan di stereng atau pada skrin utama LCD.

Dari segi kepuasan sebagai penumpang depan, penulis cukup selesa dengan ruang yang memudahkan pergerakan tempat duduk depan dan belakang, begitu juga untuk meluruskan kaki, ia cukup selesa. Barisan kedua yang merupakan tempat duduk penumpang antara tempat paling selesa untuk duduk, dipadankan blower di siling kepala untuk merasai pendingin hawa.


BERTOLAK ANSUR

Selepas 45 minit melalui perjalanan, tiba giliran pemandu kedua ditugaskan menggantikan pemandu pertama untuk memastikan perjalanan lancar. Ketika ini penulis teruja untuk memandu dengan keadaan lalu-lintas lancar serta luas.

Tetapi sebaliknya berlaku apabila, seorang lagi rakan media yang berada sebagai penumpang bahagian belakang menawarkan diri memandu sehingga sampai di Pasaya Factory Outlet di wilayah Ratchaburi. Adat berkawan kita kena bertolak ansur di antara satu sama lain, betul kan?

Tetap berada di sebelah pemandu, penulis melihat meter kelajuan Honda BR-V yang dipandu rakan mencecah 120kmj, tiada gegaran, stereng mudah dikendalikan dan suspensi berfungsi sepenuhnya sehingga kami semua tiba tempat yang dituju untuk makan tengah hari selepas dua jam perjalanan dari hotel.


CABARAN SEBENAR

Hampir satu jam berada di Pasaya Factory Outlet, konvoi media diteruskan dan kali ini detik yang dinantikan menjadi milik penulis apabila berperanan sebagai pemandu pertama bagi perjalanan pulang ke hotel penginapan.
 
Laluan berbeza dipilih bagi perjalanan pulang dengan kawasan kampung dan sawah padi menjadi pilihan untuk menguji Honda BR-V.

Untuk mendapatkan kelajuan 130-150kmj bukanlah susah bagi BR-V ini. Enjin cukup sempurna, tenang, kawalan stereng mudah dikendalikan serta tiada gegaran ketara dirasai.

Mengambil selekoh pada kelajuan 100-130 kmj, BR-V cukup stabil walaupun ada ketikanya enjin dipaksa bekerja keras apabila menginginkan pecutan serta-merta.

Mungkin sedikit bising tetapi hanya apabila pendikit ditekan secara agresif. Lagi pun laju-laju nak pergi mana bro, rileks & steady…


BAKAL JADI PILIHAN

Kelebihan ketara Honda BR-V ini ialah ruang tempat letak barang yang mampu memuatkan dua beg pakaian sederhana walaupun tempat duduk barisan ketiga tidak dilipat. Cuba bayangkan jika ia dilipat pasti luas bukan?

Penggunaan minyak juga tidak mengecewakan, bagi perjalanan sejauh 200 km ini hanya memerlukan kira-kira setengah dari tangki untuk perjalanan seharian dengan pecutan dan trafik sesak.

Secara keseluruhan Honda BR-V yang bakal dijual pada harga anggaran bawah RM100,000 ini sangat sesuai untuk perjalanan bersama keluarga mahu pun seharian.


--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Berita Terpilih dari BERNAMA - Malay Version